MAIK agih hampir RM32.5 juta bantu golongan asnaf [ 5m ago ]

Penyertaan menyeluruh warga kota bagi mencorakkan masa depan KL - Datuk Bandar

Tarikh kemaskini: 12/01/2019
KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mahu melibatkan penyertaan warga kota secara sepenuhnya, baik dari segi sumbangan idea dan tenaga, dalam merancang pembangunan serta mencorakkan masa depan bandar raya ini.

Katanya ia termasuklah dalam merangka Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 yang bakal diwartakan pada tahun depan.

"Pembangunan ibu kota ini bukan setakat tanggungjawab pihak berkuasa tempatan sahaja, tetapi juga melibatkan warga kota kerana mereka juga merupakan pemegang kepentingan yang dapat memberi sumbangan idea dan tenaga, selaras dengan tagline 'Kuala Lumpur kita punya'.

"Oleh itu, sebelum pelan itu dimuktamadkan dan diwartakan, sebarang keputusan haruslah dipersetujui bersama, termasuk warga kota sendiri kerana akhirnya merekalah yang akan menerima manfaat tersebut untuk jangka masa panjang," katanya kepada pemberita ketika wawancara '100 hari Datuk Bandar' baru-baru ini.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu mulai 1 Okt tahun lalu berkata sebarang dialog mengenai pembangunan harus melibatkan penyertaan penduduk setempat supaya sebarang permasalahan dapat diselesaikan sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.

"Kami tidak mahu apabila sesuatu keputusan sudah dibuat, barulah mereka keluar untuk menyatakan rasa tidak puas hati dan mahu tukar apa-apa perancangan... Masa itu sudah terlewat," katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata pelan pembangunan Kuala Lumpur 2040 akan tertumpu kepada pemuliharaan kawasan hijau dan meminimumkan pembangunan pencakar langit di sekitar ibu kota.

"Kalau kita lihat sekarang, kira-kira 50 peratus daripada keluasan ibu kota sudah tepu, dan ada yang telah hampir tepu, contohnya di kawasan Bukit Bintang.

"Jika boleh, kita tidak mahu terlalu menumpukan kepada pembinaan bangunan tinggi, yang penting kawasan hijau dan hutan simpan seperti di Bukit Nanas dan di sekitar Gombak dipulihara," katanya.

Selain itu, kampung-kampung tradisi di sekitar ibu kota juga perlu diselamatkan daripada projek pembangunan yang berlebihan ekoran kawasan tersebut kini semakin berkurangan.

"Pada masa ini, hanya tujuh hingga lapan kampung-kampung tradisi sahaja yang masih mengekalkan identitinya, antaranya Kampung Chubadak dan Kampung Sungai Penchala.

"Kami sayangkan kampung tradisi dan akan berusaha untuk mengekalkan keharmonian kawasan tersebut dengan mengawal pembangunan di sekitarnya. Bagaimanapun, pembinaan infrastruktur dan kemudahan asas tetap diberi keutamaan,” katanya.

Nor Hisham berkata pihaknya akan memberi tumpuan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan awam seperti jalan raya dan lampu bagi memastikan warga kota mendapat kemudahan serta perkhidmatan yang terbaik.

Memahami Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang mempunyai kepadatan penduduk dan pembangunan yang tinggi, beliau juga bertekad untuk memfokuskan kepada usaha menyelesaikan secepat mungkin semua aduan yang diterima daripada penduduk.

"Kalau dapat aduan jalan berlubang, ataupun faktor kebersihan seperti tikus berkeliaran, ataupun pekerja asing yang berniaga secara haram di sekitar ibu kota, kita perlu berusaha membanterasnya dan menyelesaikannya secepat mungkin demi keselesaan penduduk," katanya.

Nor Hisham yang juga bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu bagi menggantikan Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz yang menamatkan perkhidmatan pada 30 Sept tahun lepas.

-- BERNAMA






BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu