Pengguna internet di Malaysia semakin cenderung guna aplikasi video dalam talian dan panggilan suara

Tarikh kemaskini: 12/01/2019
KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Pengguna internet di Malaysia KINI semakin cenderung menggunakan aplikasi video dalam talian dan panggilan suara berbanding panggilan suara tradisional, menurut tinjauan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam kaji selidik terbaharu pengguna Internet 2018 (IUS 2018), SKMM berkata dalam talian video dan panggilan suara melalui aplikasi pesanan sosial di kalangan pengguna internet di Malaysia telah meningkat hampir 30 peratus tahun lepas berbanding 2016.

Ia berkata data kini semakin mampu diakses oleh pengguna dan trend ini menjadi norma bagi rakyat Malaysia.

"Sebanyak 87.4 peratus penduduk Malaysia kini menggunakan internet berbanding 76.9 peratus pada 2016. Pada masa ini, purata dunia adalah 51.2 peratus seperti dilaporkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dalam laporannya.

"Bagaimanapun, komunikasi melalui mesej teks menggunakan aplikasi pesanan sosial masih merupakan aktiviti dalam talian paling popular di kalangan pengguna internet di Malaysia (93.3 peratus pada 2016 kepada 96.5 peratus pada 2018)," kata SKMM.

Pada November 2018, Indeks Speedtest Global oleh Ookla melaporkan bahawa kelajuan muat turun jalur lebar tetap di Malaysia meningkat hampir tiga kali ganda kepada 58Mbps berbanding dengan 23Mbps pada Januari 2018.

"Pembangunan ini membolehkan rakyat Malaysia, terutama perniagaan untuk memaksimumkan potensi pendapatan mereka yang diperoleh daripada aktiviti dalam talian," menurut tinjauan itu.

Kajian tahunan, yang dijalankan antara 26 April hingga 10 Ogos 2018 melalui temuduga melalui telefon, melibatkan seramai 4,160 pengguna Internet di seluruh negara. Responden dipilih secara rawak.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu