malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Dr Wan Azizah lawat OCIS

Tarikh kemaskini: 07/12/2018
 

Daripada Harlina Samson

LONDON, 6 Dis (Bernama) – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), sebuah pusat bebas diiktiraf Universiti Oxford, kira-kira 83km dari sini, pada Khamis.

Kunjungan Timbalan Perdana Menteri ke pusat berkenaan disambut oleh Pendaftarnya, Richard Makepeace, yang juga Felo Kolej St Cross, Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, Felo Pengajian Islam OCIS dan Dr Basil A. J. Mustafa, bendahari kanan dan Felo Nelson Mandela dalam Pengajian Pendidikan di OCIS.

Dr Wan Azizah meluangkan masa kira-kira sejam melawat pusat itu yang diasaskan pada 1985 untuk menggalakkan kajian ilmiah Islam dan dunia Islam.

Semasa lawatan itu, beliau diiringi oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Mohd Suhaimi Jaafar serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Dr Wan Azizah, yang tiba semalam untuk lawatan rasmi tiga hari ke negara ini, kemudian menghadiri jamuan tengah hari serta perbincangan dengan para cendekiawan Islam di pusat berkenaan.

Ini merupakan lawatan rasmi sulungnya ke negara ini selepas dilantik dalam barisan Kabinet pada 21 Mei lalu susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

-- BERNAMA








 
 
 

       Berita Utama Terdahulu