malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

ATIA akan buka Pusat Kecemerlangan Pertama bagi robotik di Cyberjaya

Tarikh kemaskini: 06/12/2018
 
CYBERJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Advance Technologies Innovative Alliance Sdn Bhd (ATIA) bekerjasama dengan tiga syarikat tempatan untuk membuka Pusat Kecemerlangan Bagi Robotik di Malaysia, yang akan berpangkalan di Cyberjaya.

Bagi merealisasikan inisiatif itu, ATIA memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU), iaitu dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Persatuan Robotik dan Automasi Malaysia (MyRAS) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) pada satu majlis di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan MoU itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pusat tersebut akan menjadi platform bagi membangunkan prasarana teknologi efektif untuk meningkatkan kualiti hayat manusia sejajar dengan agenda ‘negeri pintar’ kerajaan negeri menjelang 2025.

Pusat itu, yang akan beroperasi daripada Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di sini, juga akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi kerajaan menerusi pengelompokan dan kluster pembangunan menerusi Kluster Taman Industri dan Sains Teknologi Tinggi di Shah Alam, Subang Jaya, Puchong dan Cyberjaya.

Selain itu, Amirudin berkata Selangor juga memperuntukkan RM1.5 juta bagi kemajuan rangkaian Internet kelajuan Gigabit (satu gigabit sesaat) dan pusat data yang boleh menangani cabaran keutamaan utama, merangsang pelaburan, meningkatkan kecekapan dan mewujudkan pekerjaan generasi seterusnya untuk mencapai pertumbuhan mampan.

Pengerusi Kumpulan ATIA Tan Sri Abd Rahman Mamat berkata, ATIA akan berfungsi sebagai fasilitator kepada syarikat teknologi maklumat tempatan dan pakar robotik dari Bucheon, Korea Selatan akan membangunkan platform untuk menggalakkan kerjasama dan mengukuhkan hubungan antara institut teknologi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi dan robotik.

"Pusat Kecemerlangan ini bukan hanya akan menghasilkan robot semata-mata tetapi juga melahirkan jurutera berkemahiran tinggi yang akan membuka laluan kepada masa depan industri teknologi,” katanya.

Abd Rahman berkata perjanjian perikatan strategik dengan tiga syarikat itu dilengkapkan dengan sesi dialog, padanan perniagaan dan perbincangan dengan enam syarikat Korea iaitu Maro Robot Tech, Robo Black System, Robotro, Sewoo Industrial System, Nare Trends Inc., dan TM Tech-I.

Sebagai pelan masa depan, katanya, menjelang 2019, ATIA akan membawa lebih daripada 150 syarikat teknologi komunikasi dan maklumat Korea untuk memulakan padanan perniagaan.
.....

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu