malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Serba Dinamik peruntuk RM30 juta bagi projek teknologi maklumat tahun depan

Tarikh kemaskini: 06/12/2018
 
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Serba Dinamik Holdings Bhd memperuntukkan kira-kira RM30 juta untuk meningkatkan dan melaksanakan projek teknologi maklumat (IT) sedia adanya tahun depan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata projek-projek itu terletak di beberapa negara dan akan dilaksanakan secara kerjasama dengan eNoah iSolution India Pvt Ltd (eNoah).

Bagi tujuan ini, anak syarikat milik penuhnya, Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian untuk membeli 30 peratus pegangan dalam eNoah dengan harga US$3.6 juta (US$1=RM4.15) secara tunai.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis permeteraian perjanjian pembelian saham itu di sini, hari ini, Mohd Abdul Karim berkata kerjasama itu akan membolehkan syarikat tersebut mengakses teknologi canggih dalam pasaran global dan memperoleh peluang untuk meneroka ke pasaran India serta mengukuhkan lagi bahagian pasaran syarikat di rantau ini.

"Kami melihat ruang penambahbaikan dalam segmen ini, terutamanya dengan IT menjadi pemangkin bagi perubahan gaya hidup pada masa depan.

“Meskipun kumpulan kami kekal menumpukan kepada perkhidmatan kejuruteraan, kami juga melihat potensi pertumbuhan bagi bahagian IT kami,” katanya.

Mohd Abdul Karim berkata pembelian saham itu dijangka meningkatkan sumbangan segmen IT Serba Dinamik kepada hasil tahunan syarikat kepada 2.5 peratus daripada 1.0 peratus sekarang.

-- BERNAMA


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Holdings Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah (dua, kiri) dan Pengarah eNoah iSolution India Pvt Ltd Neelainar Sathasivam (dua, kanan) bersalaman selepas menandatangani perjanjian persefahaman bersama di Pusat Konvensyen Sime Darby. Foto: Izzuddin Abd Radzak







 
 
 

       Berita Utama Terdahulu