malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Kempen harga patut ringankan beban pengguna

Tarikh kemaskini: 29/11/2018
 

Oleh Jenny Imanina Lanong Abdullah

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Meringankan beban rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu, kerajaan mengambil beberapa pendekatan penting yang membuktikan ia sentiasa peka dan cakna masalah yang membelenggui rakyat.

Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini menggariskan beberapa langkah efektif dan komprehensif termasuk memberi subsidi bersasar, Bantuan Sara Hidup (BSH) dan peningkatan subsidi elektrik untuk membantu rakyat khususnya golongan B40.

Pada masa sama, para peniaga digesa menyahut seruan kerajaan untuk menurunkan harga barang-barang keperluan demi meringankan beban rakyat.

Namun, apakah penurunan harga barang dapat meringankan beban rakyat dengan mengurangkan perbelanjaan harian mereka

KEDAI HARGA PATUT

Meskipun inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan tidak menyelesaikan secara keseluruhan masalah peningkatan kos sara hidup rakyat tetapi ia boleh membantu mereka yang memerlukan.



Akur akan keperluan supaya kerajaan sentiasa melaksanakan inisiatif yang dapat meringankan beban rakyat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan Kempen Harga Patut yang membolehkan rakyat membeli barangan keperluan pada harga murah dan berpatutan.

Menerusi kempen itu, KPDNHEP memperkenalkan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) bagi mengenal pasti, menilai dan mengiktiraf premis perniagaan yang menjual barangan pada harga berpatutan dan berdaya saing setanding kualiti barangan serta perkhidmatan ditawarkan.

AKHP, yang dilaksanakan sejak 2003, merupakan pengiktirafan KPDNHEP kepada peniaga yang sentiasa memastikan kualiti, nilai dan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna memenuhi kehendak dan keperluan pengguna pada harga yang berpatutan.

Sebanyak 1,249 premis perniagaan termasuk kedai runcit, pasar mini, pasar raya, pasar raya besar, kedai dan gerai makan, kedai pakaian serta alat tulis telah menerima pengiktirafan AKHP pada 2016. AKHP dilaksanakan setiap dua atau tiga tahun sekali, dan penganjuran seterusnya dijangka pada 2019.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pelaksanaan Kempen Harga Patut merupakan inisiatif KPDNHEP melalui kerjasama strategik dengan pemain industri sektor peruncitan bagi mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan merancakkan kegiatan ekonomi domestik.

Kementerian akan menambah Kedai Harga Patut menerusi penglibatan pertubuhan Friends of KPDNKK dalam usaha meringankan beban rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.



TAMBAH BAIK AKHP

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata untuk memastikan penyampaian maklumat AKHP dengan lebih berkesan, KPDNHEP membangunkan laman web mikro AKHP http://akhp.1pengguna.com/akhp/.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai AKHP dan menyemak senarai premis yang diiktiraf pada 2016 dalam laman web itu.

“Peningkatan jumlah pencalonan AKHP 2018 adalah sebanyak 31 peratus berbanding pada 2016 yang menunjukkan bahawa pelaksanaan AKHP memberikan impak tersendiri. Secara tidak langsung, ia akan membantu rakyat untuk berbelanja dengan cekap dan berhemah serta mendapatkan produk atau perkhidmatan berkualiti pada harga berpatutan.

“Bagaimanapun, kementerian sedar bahawa AKHP memerlukan promosi dan capaian program yang lebih meluas bagi mewujudkan kesedaran kepada pelbagai segmen pengguna terutamanya dalam kalangan B40,” katanya kepada Bernama.

KPDNHEP percaya langkah mewujudkan lebih banyak premis harga patut membantu masyarakat dalam berbelanja.

“AKHP hanyalah satu daripada pelbagai instrumen yang ada di dalam kerangka inisiatif penurunan kos sara hidup yang luas. Bagi memastikan bahawa kos sara hidup rakyat dapat diturunkan secara menyeluruh, kesemua instrumen dalam kerangka itu perlu bergerak seiring.

“Menjelang pelaksanaan AKHP 2019, kementerian membuat semakan dan penambahbaikan dalam Garis Panduan Pelaksanaan dan Garis Panduan Pemarkahan AKHP untuk mengekalkan kualiti setiap premis yang dicalon,” kata Ismainur Hadi.

Antara elemen berkenaan ialah Kriteria Harga yang dijadikan pemberat utama dalam melakukan penilaian terhadap premis yang dicalonkan. Wajaran Harga pula ditingkatkan sebanyak 60 peratus bagi AKHP 2019 berbanding 2016 yang hanya 40 peratus.

Selain pencalonan secara manual yang memerlukan pencalon menghantar borang pencalonan ke mana-mana KPDNHEP negeri, mereka juga boleh mengemukakan pencalonan di AKHP Onlin melalui laman web http://akhp.1pengguna.com/akhp/.



PERHEBATKAN KEMPEN

Sementara itu, pegawai bank, Filda Adnin, 36, menyambut baik inisiatif kerajaan memperkenalkan Kedai Harga Patut yang boleh menjadi alternatif kepada pengguna dalam merancang perbelanjaan mereka dengan lebih berhemah.

“Kempen Kedai Harga Patut ini perlu diperluaskan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentangnya,” kata ibu kepada tiga anak itu, yang memperuntukkan perbelanjaan bulanan sebanyak RM1,500 untuk membeli keperluan termasuk lampin pakai buang dan susu.

Pesara Shoib Moin pula berpendapat kempen program itu perlu diperhebatkan agar ia dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

“Jika diperhatikan, banyak kedai makan atau restoran menawarkan harga yang tidak berpatutan. Jika pengguna mengetahui ada kedai makan yang menawarkan harga berpatutan, sudah pasti mereka akan memilih kedai tersebut.

“Pemantauan juga perlu dilakukan agar setiap kedai yang diiktiraf sebagai Kedai Harga Patut sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Lee Weng Kai, 24, pula berpendapat Kedai Harga Patut akan mengalakkan rakyat Malaysia berbelanja dan pengguna dapat membuat perbandingan harga sebelum membeli barangan.

“Sekiranya saya ada kelapangan, saya suka pergi ke Kedai Harga Patut untuk membuat tinjauan. Jika saya mendapati barangan tersebut berkualiti dan harga berpatutan, saya akan membelinya tanpa ragu.

“Saya dapat membeli barangan berkualiti tetapi dengan harga yang berpatutan,” kata juruaudit itu.

Beliau menyarankan KPDNHEP melakukan kaji selidik bagi mempelbagaikan produk dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan dalam program itu supaya lebih banyak manfaat dapat dinikmati pengguna.



MANFAATKAN AKHP

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman pula berkata inisiatif AKHP adalah untuk membantu pengguna membuat pilihan dengan membeli di kedai yang diiktiraf KPDNHEP sebagai kedai yang menawarkan harga berpatutan dan munasabah.

Selain menjadi panduan kepada pengguna, katanya, peniaga juga mendapat galakan kerana AKHP akan menyebabkan ramai pengguna berkunjung dan membeli di kedai tersebut.

“Keadaan ini akan memberi faedah kepada pengguna dan peniaga,” katanya.

Ditanya mengenai ramai pengguna yang tidak menyedari tentang Kempen Kedai Harga Patut KPDNHEP, Mohd Yusof berkata ia mungkin kerana kurangnya publisiti.

“Promosi tidak dijalankan secara meluas menyebabkan tidak ramai orang menyedari adanya inisiatif Kedai Harga Patut. Jika ramai yang tidak menggunakan kemudahan itu, sudah semestinya ia merugikan pengguna dan peniaga,” katanya.

Menurutnya inisiatif itu juga boleh dijadikan panduan oleh semua lapisan masyarakat termasuk B40 dan M40 dalam menguruskan perbelanjaan.

Mereka perlu memanfaatkan inisiatif itu dengan memilih untuk membeli dan mendapatkan perkhidmatan di kedai yg diiktiraf oleh KPDNHEP sebagai kedai harga patut, katanya.

“Apabila ramai pengguna memilih Kedai Harga Patut, ia akan menggalakkan peniaga untuk menurunkan harga barang, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.



Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

BERNAMA















 
 
 

       Berita Utama Terdahulu