Kumpulan pertama jemaah haji dari Kelantan selamat tiba [ 6h ago ]

NEF bantu pembangunan keusahawanan lebih komprehensif, bersepadu - Redzuan

Tarikh kemaskini: 22/11/2018
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan hari ini melancarkan Rangka Kerja Keusahawanan Nasional (NEF) sebagai strategi untuk melonjakkan pembangunan usahawan ke peringkat lebih tinggi menjelang 2023.

Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata rangka kerja berkenaan mengandungi 21 objektif strategik merangkumi empat teras utama yang meliputi pelbagai sektor keusahawanan di Malaysia.

Empat teras tersebut adalah pertama; mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui keusahawan berteraskan inovasi, kedua; membangunkan keusahawanan secara komprehensif dan bersepadu, ketiga; meningkatkan keusahawanan dalam golongan B40 dan keempat; memperkasakan usahawan.

“Ia akan menjadi landasan penting untuk membantu kementerian mencapai objektif dan sasaran dalam pembangunan usahawan seperti meningkatkan sumbangan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2020.

“Objektif NEF juga dirangka untuk mencipta satu juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun, melahirkan 50,000 usahawan yang mampu membuka 200,000 peluang pekerjaan setahun, melatih 50,000 graduan setahun serta sumbangan eskport PKS sebanyak 23 peratus pada 2020 dan pulangan sebanyak RM50 bilion oleh koperasi,” katanya.

Sementara itu, Redzuan berkata, rangka kerja tersebut akan dibentang kepada Kabinet pada separuh pertama 2019, manakala Dasar Keusahawanan Nasional akan dilancarkan pada pertengahan 2019.

“Sebelum pembentangan itu, kementerian akan mendapatkan maklum balas dan cadangan melalui interaktif atas talian di laman web kementerian untuk memastikan rangka kerja itu lebih komprehensif dan efektif,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu