Body of naked man found floating in river [ 13m ago ]

MED sasar lahir 50,000 usahawan daripada kumpulan B40, M40 setahun

Tarikh kemaskini: 16/10/2018

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan untuk melahirkan seramai 50,000 usahawan dan usahawan sosial setahun daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata kementerian komited untuk membantu menyumbang kepada usaha mewujudkan sejuta peluang pekerjaan melalui pembangunan usahawan yang disasarkan seramai 250,000 orang.

“Kementerian akan memastikan program keusahawanan yang dirangka dapat memberi impak yang besar kepada ekonomi negara dari aspek peningkatan jumlah usahawan tempatan yang berjaya dibangunkan, kualiti produk dan perkhidmatan yang dihasilkan serta pasaran eksport yang diterokai,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu mengenai program yang bakal dilaksanakan oleh kementerian dan strategi untuk menarik generasi muda merebut peluang tersebut.

Katanya sasaran di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah menetapkan PKS menyumbang sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 65 peratus kepada guna tenaga dan 23 peratus kepada eksport negara menjelang 2020.

Beliau berkata kementerian turut bercadang untuk mengkaji semula dan mempercepatkan pelaksanaan sasaran tersebut.

Mohd Redzuan berkata kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk mewujudkan Dana Pemerkasaan dan Keusahawanan Anak Muda seperti yang terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan membabitkan cadangan 67 program dan inisiatif dengan implikasi kewangan sebanyak RM1 bilion bagi tahun 2019.

“Cadangan itu merupakan dapatan daripada bengkel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Anak Muda yang diadakan pada 25 Sept lepas,” katanya sambil menambah cadangan tersebut akan dibawa untuk kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Beliau berkata dana itu meliputi empat kategori iaitu latihan dan pembangunan modal insan; pembiayaan; akses kepada pasaran; serta inovasi dan infrastruktur.

“Kementerian yakin inisiatif dan program yang dicadangkan untuk usahawan muda di bawah satu dana itu akan dapat memastikan semua program dan aktiviti yang dirancang dipantau dan diselaras dengan lebih menyeluruh dan komprehensif,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga akan dapat mengurangkan pertindihan fungsi dan program keusahawanan di kementerian dan agensi.

-- BERNAMA







       Berita Utama Terdahulu