malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

MTDC lihat potensi robotik dengan nilai tempatan

Tarikh kemaskini: 15/10/2018
 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus (tengah).
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) – Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) melihat potensi dalam teknologi robotik untuk industri tempatan serta robotik dalam bidang pendidikan bagi mencapai tahap Industri 4.0 (I4.0).

Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata MTDC kini mencari syarikat dan individu yang mampu mencipta teknologi robotik tempatan yang praktikal dan boleh menyelesaikan masalah industri terutamanya dalam penggunaan sumber manusia untuk mengurangkan kos.

“Kita juga ingin membantu membangunkan sistem robotik bagi syarikat yang masih pada tahap 2.0, iaitu usahawan yang masih lagi bergantung kepada sumber manusia pekerja asing.

“Ia mungkin boleh dinaik taraf supaya mencapai tahap I3.0 iaitu tahap automasi sepenuhnya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Pecutan Robotik MTDC (MTDC RAP-MTDC Robotics Accelerator Boot Camp) di UPM-MTDC Technology Centre TIC III, hari ini.

Norhalim berkata penekanan akan diberi kepada ciptaan robotik yang berasaskan persekitaran tempatan.

“Teknologi yang diperlukan tidaklah terlalu canggih dan mahal hingga tidak mampu dimiliki oleh pengusaha, dan paling utama ia teknologi tempatan yang boleh diselenggara dan dibaiki di dalam negara, sekaligus menjimatkan kos,” katanya.

Selain itu, MTDC juga melihat potensi robotik dalam bidang pendidikan yang mampu dimiliki pada harga RM100-RM200.

“Kita telah ada syarikat tempatan bimbingan MTDC yang mengeluarkan robot untuk pendidikan dan berjaya dipasarkan ke seluruh dunia, tetapi kita mahu lebih ramai murid di sini dapat akses kepada pendidikan robotik pada harga yang jauh lebih murah seperti penggunaan ‘raspberry pi’ di United Kingdom.

“Ia satu potensi besar kerana jika dapat dipasarkan di dalam negara, ia juga boleh dilebarkan sehingga ke rantau Asia Tenggara,” katanya.

Program MTDC RAP yang bertujuan memperkasakan inkubasi dan memupuk syarikat berasaskan teknologi, menyediakan khidmat nasihat kepada syarikat serta membantu mereka mencapai status komersial.

Ia merupakan program pertama di bawah Program Pecutan MTDC dan kem tiga hari bermula 15 Okt itu disertai 50 peserta daripada 17 kumpulan universiti tempatan dan dua syarikat swasta.

Peserta diberi latihan dan bimbingan untuk memperkenalkan produk mereka kepada bakal penaja dan lima penyertaan terbaik akan diserap ke dalam Program Pecutan MTDC dan diberi latihan, bimbingan serta dana bagi membangunkan ciptaan mereka ke arah komersial pada kadar yang lebih segera.

-- BERNAMA



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu