malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Produksi 'Paskal The Movie' serah sumbangan kepada waris PPDA

Tarikh kemaskini: 09/10/2018
 
SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Pasukan produksi filem Paskal The Movie hari ini menyampaikan sumbangan wang tunai kepada waris enam penyelam Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang maut ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, 3 Okt lepas.

Sumbangan berjumlah RM30,000 itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia Entertaiment Sdn Bhd Datuk Steven Lim kepada Pengarah JBPM Selangor Azmi Osman dalam satu majlis ringkas di ibu pejabat JBPM Selangor di sini.

Turut hadir barisan pelakon dan pengarah filem berkenaan iaitu Adrian Teh, Hairul Azreen, Theeban G, Jasmine Suraya Chin, dan Ammar Alfian.

Lim dalam ucapannya berkata sumbangan itu diharap sedikit-sebanyak membantu meringankan beban waris enam penyelam terbabit.

"Sumbangan ini juga untuk menunjukkan perhargaan kami kepada 'unsung hero' ini yang terkorban semasa menjalankan tugas," katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Kelab Pendaki Malaysia dan Persatuan Penyelamat Gunung Malaysia yang menyumbangkan wang berjumlah RM2,000.

Sementara itu Azmi amat berterima kasih atas sokongan yang tidak putus-putus diterima daripada pelbagai pihak sejak kejadian tersebut berlaku.

"Sokongan seperti ini amat kami hargai, ia sebagai pemangkin semangat bagi pasukan bomba terutamanya bahagian PPDA untuk terus komited menjalankan amanah mereka sebagai pasukan penyelamat," katanya.

Dalam kejadian pada 9.15 malam itu, enam anggota PPDA yang terkorban terdiri daripada empat anggota dari balai Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24 sementara dua dari balai Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

-- BERNAMA






 
 
 

       Berita Utama Terdahulu