AM

MOHD RAFEE JUARA PIDATO KENEGARAAN PERINGKAT KEBANGSAAN 2018

23/09/2018 03:34 PM

KOTA KINABALU, 23 Sept (Bernama) -- Meskipun baru berkhidmat di negeri di bawah bayu tiga bulan lalu telah membawa tuah kepada Mohd Rafee Mohamad, 30, apabila dinobatkan sebagai pemenang  pidato kenegaraan peringkat kebangsaan pada tahun ini.

Pidato yang bertajuk "Internet dan media sosial menghubung masyarakat berinformasi" memberi kelebihan kepada Mohd Rafee mengatasi empat peserta akhir lain untuk bergelar juara.

Berasal dari Johor dan mewakili Sabah sebagai tuan rumah, menjadi kekuatan untuk mempersiapkan diri sebelum terpilih ke peringkat akhir seterusnya bergelar pemenang pada kali ini selepas mendapat tempat ketiga pada 2016.

"Persiapan memang buat yang terbaik kerana yang paling berat ialah menjadi tuan rumah, jadi memang terasa beban.

"Tapi prinsip saya ialah seorang pemidato itu walau dimana pun pergi, pertandingan atau ceramah perlu laksanakan amanah yang perlu disampaikan untuk dihayati oleh pendengar," katanya ketika ditemui pemberita selepas pertandingan akhir pidato kenegaraan peringkat kebangsaan, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Pertandingan itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Mohd Rafee yang kini bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, berkata beliau meminati bidang pengucapan awam sejak berusia tujuh tahun.

Anak kesembilan daripada 13 adik beradik itu juga bakal melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Korea Selatan pada Februari tahun depan.

"Selama setahun berada di sana saya akan membawa(pidato) bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa," katanya yang berjaya membawa pulang wang sebanyak RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dimenangi pemidato dari Terengganu Anis Hazirah Zakaria dan tempat ketiga Nurfatin Syahira Zolkafli dari Negeri Sembilan masing-masing memenangi wang sebanyak RM2,000 dan RM1,000, piala iringan serta sijil penyertaan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan