malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

PKS diseru guna kepakaran tempatan - MTDC

Tarikh kemaskini: 04/09/2018
 
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia diseru mempertimbangkan penggunaan teknologi dan kepakaran tempatan dalam persediaan menghadapi cabaran revolusi industri 4.0.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus berkata, Malaysia kini mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang, namun masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata penubuhan Myedtech Community membolehkan kemahiran serta teknologi tempatan diperolehi dengan kos yang lebih murah.

"Kebanyakan syarikat tempatan masih di tahap industri 2.0 dan industri 3.0. Kerjasama tempatan seperti ini mampu melonjakkan syarikat PKS berkembang ke arah industri 4.0.

"Myedtech Community juga bertindak sebagai platform usahasama sektor akademik dengan industri dalam melahirkan graduan serta teknopreneur tempatan yang berpotensi mengembangkan teknologi industri 4.0," katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara MTDC dengan Myedtech Community di ibu negara, hari ini.

Menerusi MoU tersebut, MTDC menyediakan platform untuk syarikat-syarikat Malaysia terutamanya PKS menggunakan teknologi sedia ada untuk proses pengeluaran produk dan perkhidmatan, serta mengembangkan kepakaran tenaga kerja.

Myedtech Community terdiri daripada 21 syarikat yang menghubungkan rangkaian usahasama antara usahawan, penyelidik, akademia dan pakar-pakar industri.

-- BERNAMA






 
 
 

       Berita Utama Terdahulu