malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Equanimity tidak dibuka untuk dilawati orang ramai - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 11/08/2018
 
PELABUHAN KLANG, 11 Ogos (Bernama) -- Kapal layar mewah, Equanimity, tidak akan dibuka kepada orang ramai untuk dilawati bagi mengekalkan nilai dan memelihara keadaan kapal itu, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kapal berkenaan akan dijual dengan secepat mungkin memandangkan kos penyelenggaraannya sahaja menelan belanja kira-kira RM2 juta sebulan.

“Kita perlu menjaga kapal layar itu supaya berkeadaan baik. Tetapi jika anda membenarkan beratus-ratus orang datang dan melihat kapal layar ini ia mungkin akan mengalami kerosakan dan memberi satu gambaran tidak baik.

“Pembeli mungkin tidak mahu membeli sebuah kapal yang dipamerkan sebegitu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di atas kapal itu, yang dianggar bernilai RM1 billion, yang kini berlabuh di Boustead Cruise Centre, di sini hari ini.

Kapal layar mewah itu, dipercayai mempunyai hubung kait dengan seorang ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low,  tiba di Malaysia pada 7 Ogos selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Dr Mahathir, bagaimanapun berkata orang ramai boleh mendapatkan gambaran tentang keadaan Equanimity menerusi pelbagai gambar yang merakamkan kemewahan ruang dalaman kapal itu dalam lawatan hari ini.

"Apa sahaja yang terbayang di fikiran anda ada di sana dan banyak perkara yang anda langsung tidak terfikir sama sekali juga ada di sana. Ia sebenarnya bukanlah sebuah kapal layar, tetapi sebuah kapal yang sangat besar,” katanya.

Dr Mahathir berkata kelihatannya seperti beberapa buah lukisan telah dikeluarkan daripada kapal berkenaan.

Beliau berkata cadangan penjualan kapal layar mewah itu akan diiklankan di peringkat antarabangsa.

Ditanya sama ada terdapat mana-mana pihak yang menyuarakan minat untuk membelinya, Dr Mahathir berkata beliau mempunyai nama beberapa pihak yang berminat untuk membeli.

Bagaimanapun, beliau menegaskan mereka yang berhasrat untuk membeli “mestilah betul, betul kaya.”

"Mungkin orang Arab atau Bill Gates akan (membuat) tawaran," kata beliau berseloroh, dan menambah, kos untuk menyenggara kapal itu adalah terlalu mahal.

Kapal layar mewah itu dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dalam siasatan.

Kepada satu soalan, Dr Mahathir mencabar Jho Low supaya tampil dan mengemukakan tuntutannya berhubung pemilikan kapal itu.

-- BERNAMA

 

 



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu