malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Buta tidak halang Abdul Aziz, Esah, jejak kaki ke tanah suci

Tarikh kemaskini: 11/08/2018
 

MAKKAH, 11 Ogos -- Pasangan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan Abdul Aziz Yusof, 73, dan isterinya Esah Long, 72 ketika ditemui media menceritakan mengenai perjalanan ibadah mereka di sini, hari ini. Pasangan ini menerima surat tawaran pada Mac lepas dan membuat persiapan dari segi pengetahuan dan ilmu berkaitan haji dengan menggunakan sistem tulisan braille.
Daripada Zarul Effendi Razali

Daripada Zarul Effendi Razali

MAKKAH, 11 Ogos (Bernama) -- “Maka nikmat-nikmat Tuhan kamu yang manakah yang hendak kamu dustakan,” bait-bait terjemahan surah Ar-Rahman ini sesuai bagi menggambarkan kesungguhan dan azam pasangan cacat penglihatan dari Malaysia, yang menjadi tetamu Allah SWT bagi musim haji kali ini.

Biarpun tidak sesempurna insan lain, namun semangat dan kesabaran Abdul Aziz Yusof, 73, dan isterinya Esah Long, 72, mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk ke tanah suci menjadi contoh bahawa sesiapa sahaja, tanpa mengira kesempurnaan fizikal dan kestabilan kewangan, mampu untuk menjadi tetamu Allah SWT di tanah suci.

Menetap di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, pasangan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan ini mula memasang niat dari usia muda untuk menunaikan haji dan mula mengumpul wang sebelum mendaftar pada bulan Mac 2009.

Setelah membuat persiapan dari segi pengetahuan dan ilmu berkaitan haji dengan menggunakan sistem tulisan braille, Esah berkata beliau dan suami menerima surat tawaran untuk ke tanah suci pada Mac lepas.

"Berkat wang yang kami simpan sedikit demi sedikit, akhirnya dapat juga kami menunaikan haji. Orang kata kalau kami macam ini (buta), tidak wajib untuk ke Makkah. Tapi pada saya, kalau ada duit tu dah dikira wajib. Apa lagi yang mahu dibuat dengan duit (simpanan) itu, bukan boleh dibawa ke mati," katanya semasa ditemui oleh media di sini, hari ini.

Pasangan ini mendapat bantuan daripada seorang kenalan mereka bagi segala urusan berkaitan pendaftaran, dan pengurusan akaun di TH di samping penghantaran pergi dan pulang ke pejabat TH semasa di tanah air.

Pasangan ini juga pernah menunaikan umrah pada 2003 di bawah Persatuan Malaysian Association for the Blind (MAB) bersama-sama 30 jemaah yang lain, terdiri daripada ahli persatuan dan pengiring bagi setiap seorang ahli dengan bayaran RM3,000 seorang.

Menurut Abdul Aziz pula, semasa di Makkah beliau belum lagi berpeluang untuk ke Masjidil Haram selain semasa menunaikan umrah wajib semasa tiba dari Madinah, berikutan faktor kesihatan dan masalah cepat letih, di samping laluan ke masjid dari tempat penginapan yang agak berbukit.

"Alhamdulillah, bila dekat sini (tanah suci), banyak orang (jemaah lain) dan petugas haji yang membantu (pergerakan). Kawan sebiliklah yang paling kerap membantu jika saya nak ke surau dan sebagainya," katanya.

Dilahirkan sempurna, Abdul Aziz, yang berasal dari Terengganu, kehilangan deria penglihatannya ketika berusia tiga tahun akibat diserang demam panas manakala Esah yang berasal dari Pulau Pinang pada umur tujuh tahun, atas sebab yang sama.

Pasangan ini berkenalan semasa di sekolah menengah dan mendirikan rumah tangga pada Disember 1974 dan dikurniakan dua orang cahaya mata dan dua cucu setakat ini.

Menurut Esah, beliau pernah melihat gambar Kaabah, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sebelum hilang penglihatan dan hanya mampu membayangkan gambaran itu semasa berada di tanah suci.

Selain mendapat haji yang mabrur, pasangan istimewa ini turut berdoa supaya dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk mereka menjalankan ibadah di tanah suci.

Sementara itu, Pengurus Maktab 77, Azhar Noraffendi, maktab yang didiami oleh pasangan istimewa ini berkata, nama Abdul Aziz dan Esah dicadangkan untuk dimasukkan di dalam program Warga Emas semasa operasi masyair.

"Kita telah mendapat maklumat awal daripada pasukan TH di Madinah mengenai keadaan pasangan ini. Setibanya mereka di sini, kami telah menyediakan kemudahan kerusi roda yang ditolak oleh Pembantu Petugas TH untuk mereka menunaikan umrah wajib.

"Di bawah program Warga Emas ini, jemaah yang terpilih akan ditempatkan di ibu pejabat TH Makkah sehari sebelum operasi masyair bermula dan akan dikendalikan oleh petugas TH iaitu seorang jemaah bagi seorang petugas," katanya.

Petugas yang dilantik ini akan menjaga dan membantu jemaah berkenaan menjalankan semua ibadah semasa masyair seperti wukuf di Arafah, bermabid di Muzdalifah dan melontar jamrah di Mina, di samping  membantu melaksanakan tawaf dan saie haji.

-- BERNAMA

 

 



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu