malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Limau bali tarikan lain di Changlun

Tarikh kemaskini: 11/08/2018
 
  Oleh Hasnah Junid

CHANGLUN, 11 Ogos (Bernama) -- Sebut sahaja Kedah pasti ramai yang membayangkan kehijauan sawah padi negeri Jelapang Padi itu yang terbentang luas, bagaimanapun kini terdapat tarikan lain buat pengunjung negeri itu.

Kira-kira 12 kilometer dari sempadan negara, terdapat sederet 10 gerai buah limau bali yang kebiasaannya diketahui banyak terdapat di Perak, kini dijual di Kampung Padang Halban, Changlun.

Gerai-gerai yang terletak di tepi Lebuh Raya Utara Selatan menghala Alor Setar dari Bukit Kayu Hitam itu sering menjadi tumpuan pelancong sama ada tempatan atau luar negara terutamanya dari Thailand.

Seorang peniaga, Mariani Saaad, 50, yang menjual limau bali di kawasan itu sejak 22 tahun lepas berkata ramai pelancong tidak menjangka bahawa buah itu turut terdapat di negeri ini.

"Biasanya kita dengar buah ini banyak dijual di Perak kan, jadi pelancong atau ibu bapa pelajar di insititut pengajian kalau depa (mereka) mai (datang) sini biasanya pelik juga sebab kita jual, tapi memang kita dapat bekalan tempatan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Beilau berkata permintaan akan lebih meningkat sewaktu musim cuti sekolah apabila ramai pelancong tempatan yang berkunjung ke Thailand balik melalui jalan itu dan singgah membeli limau bali yang terdapat di situ, iaitu jenis Kedangsa, Bali Bulu dan Bali Minyak. 

Seorang lagi peniaga Faridah Sulaiman, 60, yang sudah berniaga selama 30 tahun di situ berkata, menerusi program 1 Kampung 1 Projek (1K1P), beberapa petani di Changlun dan Kuala Nerang menanam limau bali sebagai tanaman utama memandangkan permintaannya juga agak baik.

"Cuma kadang-kadang kalau bekalan terputus kita akan dapatkan juga dari Siam (Thailand), sebab itu buah itu dijual di sini sepanjang tahun," katanya yang menjual limau bali pada harga RM5 hingga RM10 sebiji, mengikut saiz dan jenis. 

-- BERNAMA

 

 



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu