malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Salahguna Kuasa Monopoli, Suruhanjaya Persaingan Malaysia Cadang Dagang Net Didenda RM17.4 Juta

Tarikh kemaskini: 12/07/2018
 

Sumber gambar: mycc.gov.my
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan Keputusan Cadangan mengenakan penalti kewangan terhadap Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net) setelah didapati melanggar Akta Persaingan 2010.

Dalam keputusan cadangan yang dikeluarkan pada 10 Julai itu, penalti berjumlah RM17.4 juta, dikenakan terhadap syarikat itu kerana melanggar Seksyen 10(2)(c) Akta Persaingan 2010 setelah menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam penyediaan kemudahan perkhidmatan perdagangan bagi "National Single Window ".

Dagang Net didapati enggan membekalkan peti mel elektronik kepada pengguna Sistem Maklumat Kastam dan juga mengenakan sekatan kemasukan ke tahap yang boleh memudaratkan persaingan.

Dalam satu kenyataan hari ini, MyCC berkata penyiasatan ke atas Dagang Net dimulakan berdasarkan aduan-aduan yang diterimanya.

"Hasil penyiasatan mendapati syarikat itu telah menyalahgunakan kedudukan monopolinya dengan enggan untuk membekalkan peti mel elektronik baru dan/atau tambahan kepada pengguna Sistem Maklumat Kastam yang menggunakan perisian "front-end" dari pembekal-pembekal penyelesaian perisian yang didakwa bukan merupakan rakan perniagaan Dagang Net yang sah," katanya.

Dagang Net juga didapati telah mengenakan klausa eksklusif kepada rakan-rakan perniagaannya yang memberi kesan seperti mengganggu proses persaingan di dalam pasaran yang akan datang dengan mewujudkan sekatan kemasukan bagi pesaing Dagang Net di dalam pasaran dan akan menjadikan pesaing-pesaing yang lain kurang cekap apabila bersaing bersama Dagang Net.

MyCC turut mencadangkan untuk mengenakan arahan kepada Dagang Net untuk berhenti dan menghentikan pelanggaran dan apa-apa tingkah laku yang boleh mengganggu proses persaingan di dalam pasaran masa kini dan masa hadapan.

"Suruhanjaya juga mencadangkan agar pengarah-pengarah dan pihak pengurusan kanan Dagang Net dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Dagang Net menjalani program pematuhan undang-undang persaingan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh Keputusan Cadangan, " menurut kenyataan itu.

Syarikat berkenaan mempunyai 30 hari dari tarikh penerimaan Keputusan Cadangan tersebut dan membuat representasi mereka kepada Suruhanjaya.

"Suruhanjaya kemudiannya akan membuat keputusan muktamad setelah mempertimbangkan representasi tersebut serta semua maklumat dan bukti yang ada," katanya.

Akta Persaingan 2010 telah mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2012 dan dengan demikian, perusahaan sepatutnya mematuhi peruntukan yang termaktub di dalam Akta tersebut.

-- BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu