malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Konvensyen Team Excellence berjaya jimat RM206 juta tahun lepas

Tarikh kemaskini: 05/07/2018
 

Ab. Rahim Yusoff (Gambar fail Bernama)
KUANTAN, 5 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Konvensyen Team Excellence di seluruh negara

berjaya menghasilkan penjimatan kos sebanyak RM206 juta bagi sektor awam dan swasta di semua wilayah di negara ini pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Ab. Rahim Yusoff berkata daripada jumlah tersebut, RM30 juta atau bersamaan 15 peratus merupakan sumbangan daripada kumpulan-kumpulan yang bertanding pada konvensyen peringkat Wilayah Pantai Timur.

"Pada Konvensyen Team Excellence Wilayah Pantai Timur tahun ini, kita mendapati jumlah penjimatan yang terhasil daripada inisiatif inovasi daripada 43 kumpulan yang menyertainya adalah sekitar RM83.5 juta."

"Ini menyaksikan konvensyen yang bersifat pertandingan ini mampu meningkatkan penjimatan hingga mencecah tiga kali ganda berbanding tahun lalu."

"Ia selari dengan matlamat MPC menganjurkan konvensyen tersebut iaitu menggalakkan budaya produktiviti dan menambah baik kualiti produk dan perkhidmatan," katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Konvensyen Team Excellence Wilayah Pantai Timur 2018 Bukit Gambang Resort City di sini hari ini.

Ab. Rahim berkata dengan kejayaan itu, beliau berharap agar lebih banyak kumpulan dari pelbagai organisasi mengambil inisiatif melakukan penjimatan dan beroperasi secara efisien.

"Kumpulan yang menyertai konvensyen di peringkat wilayah berpeluang untuk mewakili negara konvensyen di peringkat antarabangsa."

"Ia secara langsung memberi motivasi kepada organisasi yang melaksanakan inisiatif 'produktiviti tempat kerja' dan melaksanakan transformasi kreatif dalam proses kerja, produk dan perkhidmatan untuk berkongsi kejayaan mereka," katanya.

-- BERNAMA



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu