malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat 5 petang

Tarikh kemaskini: 14/06/2018
 

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilapor bergerak perlahan setakat 5 petang ini, berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, esok.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata trafik perlahan dari Slim River ke Sungkai; Bidor ke Tapah seterusnya ke Gopeng; Simpang Pulai ke Terowong Menora; Kuala Kangsar ke Changkat Jering (kawasan mendaki Bukit Berapit) dan Gurun ke Pendang.

Menurutnya, trafik juga dilaporkan perlahan dari Nilai ke Bandar Ainsdale; Senawang ke Pedas Linggi, dan Simpang Renggam ke Machap berikutan terdapat kemalangan di Km64 arah utara.

"Selain itu, trafik juga perlahan di Skudai ke Kulai dan CIQ Bangunan Sultan Iskandar Singapura ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik perlahan dari Genting Sempah ke Lentang, manakala di lokasi-lokasi lain masih lancar dan terkawal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di talian 1800-88-7752 atau merujuk laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik dan www.twitter.com/llminfotrafik.

-- BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu