malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

'The Hantus' Temui Penonton Aidilfitri Ini Di Astro

Tarikh kemaskini: 11/06/2018
 

Barisan pelakon dan pihak penerbit FTV The Hantus.
Oleh Mohammad Johari Yaakob

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pengacara dan pelakon serba boleh, Nabil Ahmad mengorak selangkah lagi perjalanan seninya apabila menghasilkan sebuah Filem Televisyen (FTV) yang berjudul 'The Hantus' khas untuk siaran Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 15 Jun ini.

Menggalas berapa tanggungjawab utama di belakang tabir sebagai penulis skrip dan penerbit, Nabil turut bertindak sebagai pengarah bersama di samping pengarah, Helmi Yusof.

"The Hantus merupakan skrip supertele saya yang pertama dan saya begitu gembira kerana ia akan menemui penonton menjelang Aidilfitri ini," kata Nabil pada sidang media baru-baru ini.

Menurut Nabil, 'The Hantus' merupakan cerita komedi seram serta romantik yang tercetus antara dua kehidupan iaitu dunia realiti dan alam barzakh. Setiap barisan karakter yang dizahirkan mempunyai peranan masing-masing dan saling memerlukan.

FTV yang bergenre komedi-seram ini diinspirasikan daripada kisah hantu-hantu seram, popular dan viral termasuklah cerita 'Volkswagen Kuning', 'Hantu Kak Limah' dan 'Kisah Seram & Misteri Taman Mimaland.'

BARISAN SELEBRITI

Berlatarkan skrip dan plot penceritaan yang kuat 'The Hantus' diperhebatkan lagi dengan penampilan barisan selebriti popular seperti Faizal Hussein, Alif Satar, Hanah Delisha dan Khatijah Tan yang memegang watak utama dalam naskhah ini.


(Dari kiri) Alif Satar, Hannah Delisha dan Faizal Hussein yang merupakan pelakon utama The Hantus.


"Saya tidak mempunyai masalah untuk berlakon dengan pelakon-pelakon baru seperti Alif dan Hannah, kerana kami juga ada berbincang mengenai watak masing-masing dan saya berasa gembira sudah lama tidak berlakon cerita macam ini," jelas Faizal yang memegang watak sebagai Abang Volkswagen Kuning.

Keseluruhan penggambaran 'The Hantus' telah diadakan di lokasi-lokasi utama di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka dan sesi penggambaran berlangsung selama 14 hari. ' The Hantus' bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 15 Jun (Jumaat) bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang akan menjelang tiba.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton 'The Hantus' berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian. Untuk lebih fleksibel, 'The Hantus' juga boleh didapati menerusi platform digital, 'on demand'.

-- BERNAMA



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu