malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Kotak, beg dipercayai berisi wang tunai dibawa ke Bank Negara

Tarikh kemaskini: 23/05/2018
 
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman hari ini selesai mengira semua wang yang dirampas dari unit kondominium Pavilion Residences di Jalan Raja Chulan di sini, minggu lepas.

Sumber berkata wang itu, yang diisi di dalam beberapa kotak dan beg, kemudian dibawa ke Bank Negara Malaysia (BNM).

Proses pengiraan wang tunai itu, yang dipercayai bernilai lebih RM110 juta, dilakukan di pejabat JSJK dengan bantuan agensi lain termasuk BNM kira-kira 4 petang tadi sebelum dibawa keluar premis itu pada 5.45 petang.

Pasukan berkenaan juga melakukan pengiraan barangan lain yang dirampas termasuk barangan kemas, kata sumber itu hari ini.

Sementara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika ditemui pemberita di sini mengesahkan tentang pemindahan beg dan kotak berkenaan dari pejabat JSJK namun enggan memberitahu jumlah sebenar wang tunai terbabit.

"Semua beg dan kotak yang berisi wang tunai ini akan dibawa ke Bank Negara Malaysia," katanya.

Difahamkan, kesemua barangan tersebut dibawa keluar dari pejabat itu dengan kawalan ketat Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM untuk dihantar ke BNM bagi tindakan lanjut.

Tinjauan Bernama di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini yang menempatkan pejabat JSJK Bukit Aman mendapati seorang individu membawa keluar mesin mengira wang dari bangunan itu pada 3.50 petang.



Puluhan pengamal media turut berkumpul di kawasan perkarangan lobi bangunan berkenaan bagi mendapatkan perkembangan terkini kes itu.

Jumaat lepas, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga dari kondominium mewah itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Amar Singh berkata sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga unit kondominium itu.

-- BERNAMA



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu