malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Anwar Ibrahim berbuka bersama hampir 500 penyokongnya

Tarikh kemaskini: 18/05/2018
 

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Bagi yang telah terlalu lama hidup berjauhan dengan keluarga, peluang berbuka puasa bersama keluarga pada hari pertama Ramadan pastinya tidak akan dilepaskan.

Berlainan ceritanya dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil kesempatan berbuka puasa bersama hampir 500 penyokongnya pada Majlis Iftar bersama Anwar Ibrahim di kediamannya di sini, malam ini.

Nyata kediamannya di Bukit Segambut Dalam itu kelihatan kecil dan sempit apabila para penyokongnya termasuk yang berbangsa Cina dan India hadir untuk bertemu pemimpin itu.

Anwar dibebaskan semalam selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepada beliau.

Pembebasan Anwar yang dipenjarakan sejak Februari 2015 itu menjadi lebih bermakna apabila ia dibuat sehari sebelum umat Islam menyambut kedatangan Ramadan, hari ini.

Majlis malam ini dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan majlis berbuka puasa, solat Isyak dan Terawih berjemaah, dan diakhiri dengan tazkirah yang disampaikan Anwar sendiri.

Dalam tazkirah itu, Anwar mengingatkan kepada penyokong yang hadir dan wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan supaya tidak sombong dengan kemenangan yang diperoleh.

"Saya percaya kita akan selamat kalau kita akan dapat pastikan jika PKR dan Pakatan Harapan tetap di dalam landasan. Akhirnya ini semua adalah soal akhlak."

"Jangan kemenangan kita itu menghilangkan rasa syukur kita kepada Allah Taala. Maka kita tegakkan keadilan mengikut proses yang telah ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu