malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Pengumuman GST lebih awal daripada jangkaan - Maybank IB

Tarikh kemaskini: 17/05/2018
 
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama)

Maybank IB Research menyifatkan penetapan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuat kuasa mulai 1 Jun yang diumumkan semalam, dibuat lebih awal daripada jangkaan. Malah, ia sebaliknya menjangkakan bahawa langkah lebih menyeluruh akan diumumkan menerusi pembentangan belanjawan mini/tambahan susulan taklimat oleh Majlis Penasihat Kerajaan pada Selasa. Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Maybank IB berkata ia juga menyangka bahawa pengumuman berhubung penguatkuasaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dibuat apabila Parlimen kembali bersidang. "Mengikut Bajet 2018, hasil kutipan GST tahun ini adalah RM43.8 bilion. Oleh itu, pelaksanaan GST pada kadar sifar itu menyebabkan pengurangan sebanyak RM25.6 bilion berdasarkan asas mudah yang pro atau cenderung terhadap kadar itu," katanya. Bagaimanapun, ia sedia maklum wujudnya beberapa faktor penampan seperti hasil berkaitan minyak yang dijangka berjumlah RM37.7 bilion berikutan kenaikan harga minyak mentah, langkah memperkenalkan semula SST dan usaha kerajaan mengurangkan pembaziran dan ketirisan. Firma penyelidikan itu berkata penerima manfaat terbesar susulan pemansuhan GST itu adalah sektor berkaitan pengguna kerana secara teorinya produk pengguna ‘berkadar standard´ lazimnya akan menyaksikan pengurangan harga kira-kira 6.0 peratus. "Kami menjangkakan pembangunan ini akan memacu perbelanjaan pengguna dalam masa terdekat selain memberi kesan positif yang lebih meluas," katanya. Di bursa tempatan misalnya, urus niaga pada sesi dagangan awal berakhir secara positif apabila kaunter berkaitan pengguna muncul sebagai kaunter yang paling untung. Nestle misalnya meningkat RM1.40 kepada RM142.90, British American Tobacco naik RM1.26 kepada RM32.82, Ajinomoto untung RM1.00 kepada RM23.80 manakala Panasonic Manufacturing Malaysia menokok 42 sen kepada RM37.70. Mengulas sektor automotif, firma penyelidikan ini berkata harga kereta baharu/kereta terpakai dari luar negara juga sepatutnya 6.0 peratus lebih rendah berkuat kuasa 1 Jun dengan syarat cukai jualan 10 peratus sebelum pelaksanaan GST, tidak akan diperkenalkan semula. "Kami positif dengan perkembangan baharu ini kerana ia dapat meningkatkan jumlah jualan industri mulai separuh kedua tahun ini dan seiring dengan unjuran 2018 kami iaitu sebanyak 595,000 unit (+3.0 peratus tahun ke tahun). "Namun, jualan pada Mei diunjur berkurangan secara ketara apabila pengguna bertindak mengelak daripada membuat sebarang pembelian, " kata firma penyelidikan itu. Dalam pada itu, ia menyifatkan langkah pemansuhan GST akan memberi impak positif terhadap sektor penerbangan, khususnya caj khidmat penumpang domestik dan antarabangsa, kos bahan api penerbangan domestik dan asas penyelenggaraan dan lainnya. Pemasuhan itu akan membawa kepada pengurangan segera 6.0 peratus dalam harga hartanah komersial dan boleh merendahkan harga hartanah kediaman berikutan bahan mentah binaan yang sebahagiannya tertakluk kepada GST sebelum ini, kini menjadi lebih murah. "Malah, kami juga menjangkakan bahawa pemaju akan mencatat keuntungan lebih baik jika kos tambahan telah diserap secara penuh/sebahagian oleh hartanah yang dijual," katanya. -- BERNAMA

.
.
.
.
.....

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu