malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Konsert Perdana Padi Reborn Exclusive Live In KL

Tarikh kemaskini: 15/05/2018
 

(dari kiri) Fadly, Ari dan Piyu bergambar di sidang media Padi Reborn Exclusive Live In KL
Oleh Mohammad Johari Yaakob

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kumpulan Padi kini kembali untuk mengadakan konsert perdana mereka yang berjudul Padi Reborn Exclusive Live In KL setelah menyepi selama tujuh tahun.

Menurut gitaris kumpulan Padi iaitu Piyu, mereka pada awalnya hanya merancang untuk berehat selama tiga bulan sahaja untuk mengkaji kekuatan dan kelemahan kumpulan mereka dan tidak menyangka akan berlanjutan selama tujuh tahun.

"Saya berasa amat teruja untuk menunggu tanggal 30 hari bulan Jun membuat persembahan di Kuala Lumpur di mana ini juga adalah penampilan pertama Padi selepas tujuh tahun vakum," kata Piyu pada sidang media di Royal Hotel hujung April lalu.

Tidak ketinggalan Fadly yang juga vokalis kumpulan padi meluahkan rasa terkejut dan syukur beliau kerana masih diberi kesempatan untuk berkumpul semula dengan anggota kumpulan Padi untuk mengadakan konsert setelah sekian lama menyanyi.

Padi Reborn Exclusive Live In KL yang akan berlangsung pada 20 Jun (Sabtu) 8 malam di KL Live, Kuala Lumpur ini dianjurkan oleh Qew Communication Sdn Bhd juga akan menampilkan persembahan daripada Kumpulan Pitahati.

LIMA STUDIO ALBUM

Sepanjang penubuhannya, Padi mempunyai lima studio album iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007). Kumpulan ini juga mempunyai album kompilasi yang berjudul The Singles yang dipasarkan pada 2011.


Kumpulan Pitahati yang akan turut membuat persembahan pada konsert Padi Reborn Jun depan


Tiket-tiket untuk menyaksikan untaian indah Padi Reborn Exclusive Live In KL pada 30 Jun depan sudah dijual dengan harga RM179 untuk standard (Platinum) dan sesi meet-and-greet pula RM290 untuk standard.

Tiket promosi harga istimewa juga boleh didapati sepanjang roadshow yang bakal diadakan sepanjang bulan Mei ini. Semua tiket boleh didapati dengan melayari www.buytickets.com.my

-- BERNAMA









 
 
 

       Berita Utama Terdahulu