malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

PBS, UPKO, PBRS kukuhkan kesatuan jentera, pastikan BN menang PRU14

Tarikh kemaskini: 17/04/2018
 

KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) -- Tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah berasaskan kepelbagaian kaum khususnya masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) akan terus memperkukuh kesatuan dan perpaduan jentera parti untuk memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Ketiga-tiga kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sepakat bahawa kerjasama dan koordinasi antara jentera parti mampu memperkemas sekali gus memantapkan kerja-kerja kempen pada pilihan raya itu.

Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata ini adalah matlamat dan komitmen ketiga-tiga parti untuk memberi sokongan kepada sesiapa sahaja calon dipilih bertanding bagi kerusi diperuntukkan di kawasan masing-masing seterusnya memberi kemenangan besar kepada parti dan BN.

"Ini adalah kali pertama kami bersatu dalam usaha memperkukuh kerjasama (antara jentera parti) sepanjang pilihan raya.

"Dengan itu, jentera (BN) dapat berperanan dengan lebih berkesan demi manfaat para penyokong parti kami," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis presiden ketiga-tiga parti itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup.

Mengulas lanjut, Ongkili berkata kepimpinan ketiga-tiga parti akan memberi penjelasan mengenai kerjasama dan koordinasi antara jentera parti termasuk dari segi penyelarasan gerak kerja kempen selain membantu berkongsi maklumat dan strategi.

Sementara itu, Tangau berkata kerjasama dan perpaduan antara parti itu adalah penting demi meningkatkan peluang untuk BN menang besar pada PRU14.

Bagi Kurup pula, jentera ketiga-tiga parti perlu memberi kerjasama penuh dalam menggerakkan mekanisme itu bagi mencapai matlamat bersama untuk memastikan kemenangan BN pada PRU14 demi manfaat rakyat pelbagai kaum di negeri ini khususnya KDM.

"Kita perlu menumpukan perhatian kepada perpaduan sekarang ini. Kita mesti bergerak ke hadapan dan mencapai matlamat kita untuk memastikan kemenangan (BN pada pilihan raya)," katanya.

BN memperuntukkan 20 kerusi DUN untuk ketiga-tiga parti terbabit dengan PBS menerima 13 kerusi, UPKO (enam) dan PBRS satu kerusi.

Bagi kerusi Parlimen pula, PBS diperuntukkan lima kerusi,UPKO (empat) dan PBRS satu kerusi.

-- BERNAMA





 
 
 

       Berita Utama Terdahulu