malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Kenangan Manis Azizah Yusuf Dinobat Tokoh Kraf Negara

Tarikh kemaskini: 17/04/2018
 

Anugerah Tokoh Kraf Negara disandang oleh Azizah Mohamad Yusof bersama sijil miliknya serta wang tunai selepas meraih Anugerah tersebut pada Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2018 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Foto: Dayana Nabila Shaipul Anuar
Oleh Nurul Halawati Mohamad Azhari

KUALA LUMPUR (Bernama) -- "Gembira, terharu, bersyukur dan bangga". Begitu perasaan Azizah Mohamad Yusof, 80, pengusaha kraf tekatan benang emas apabila diumum penerima anugerah Tokoh Kraf Negara 2018 sempena Hari Kraf Kebangsaan baru-baru ini.

Berasal dari Kuala Kangsar, Perak, beliau tidak pernah menyangka komitmennya selama ini memartabatkan industri seni tekatan benang emas begitu dihargai sehingga menerima pengiktirafan tertinggi industri kraf negara.

"Siapa yang tidak bersyukur dengan pengiktirafan sedemikian, tetapi dalam masa yang sama, saya rasa tanggungjawab saya semakin berat untuk memastikan kelangsungan seni tekat ini," kata wanita berjiwa halus dari Kuala Kangsar itu dalam wawancara dengan Bernama.

Di sebalik usia emasnya, Azizah begitu bersemangat apabila diajak berbual mengenai tekatan benang emas, seni tradisi kebanggaan negeri Perak.

Ini kerana lebih separuh daripada usianya dihabiskan di hadapan pemidang tekat, menekuni seni tradisi yang diwarisi keluarga.

Kemahirannya dalam bidang ini terserlah apabila melihat beliau sungguh teliti melakukan kerjanya sehinggakan jari-jemarinya tidak langsung menyentuh benang emas yang sedang ditekat. Kualiti akan terjejas dan warnanya pudar andai terkena peluh di tangan.

Tampak mustahil tetapi melihat sendiri ketelitiannya memasukkan selembar benang ke dalam lubang jarum menggunakan sebatang lagi jarum, sesungguhnya ia satu kemahiran yang memerlukan latihan bertahun-tahun lamanya.


Pengusaha Kraf Tekatan Benang Emas Azizah Mohamad Yusof (kiri) ketika menghadiri pameran hasil sulaman tekatan benang emas sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini. Foto: Shazreen Zamzuri


TIDAK LOKEK ILMU

Komitmen dan sumbangan Azizah terhadap pembangunan dan pengekalan seni tekat sangat tinggi. Beliau juga tidak lokek ilmu sehingga tidak putus-putus memenuhi undangan mengadakan pameran, demonstrasi serta mengajar kemahiran kraf tekatan baik di dalam mahupun di luar negara.

Ketika majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 26 April, 2007 dan majlis perkahwinan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada Mei 2007, khidmat beliau turut diperlukan ketika menyiapkan kelengkapan yang diperlukan.

Sepanjang tempoh 61 tahun bergelar tukang tekat, ibu kepada sembilan orang anak ini menerima pelbagai anugerah untuk hasil kerja seninya.

Pada 1995 beliau dilantik sebagai Adiguru seni tekat oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Mengenai kemahiran menekat, Azizah memberitahu Bernama, beliau belajar daripada arwah nenek dan arwah ibunya sejak beliau di bangku sekolah. Nenek dan ibunya adalah tukang tekat mahir yang sering mendapat tempahan untuk keluarga diraja dan orang kenamaan di Perak sekitar tahun 20-an dan 30-an.

"Ibu dan nenek banyak mempengaruhi minat saya terhadap seni tekat. Dari zaman kanak-kanak sehinggalah saya berkahwin dan mendapat anak, boleh kata dalam setiap peristiwa bersejarah dalam hidup saya, akan ada hasil tekat yang dihasilkan," jelas Azizah yang mula menjadi guru Kemas pada 1980.

Menjadi generasi ketiga yang menyambung warisan keluarga, Azizah sehingga kini tidak pernah jemu menekat. Beliau bersyukur kerana mendapat sokongan daripada arwah suaminya, Abu Kassim Shahid.

Malah empat anaknya iaitu Mardziah, Marshitah, Maizirah dan Haris menjadi generasi keempat mewarisi kemahiran keluarga ini. Mardziah adalah pengurus syarikat milik keluarga mereka, Gesamas Sdn. Bhd yang beroperasi di Kuala Kangsar.

Azizah turut memiliki sebuah bengkel tekatan dan sebuah ruang pameran berhampiran rumahnya di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan.

INGIN TERUS MENEKAT

Walaupun memiliki mesin menghasilkan sulam tekat secara komersil, Azizah masih terus mengusahakan tekatan benang emas tradisional menggunakan tangan. Bagaimanapun, itu bergantung kepada tempahan dan secara tidak langsung dapat memelihara keaslian seni berkenaan.

Di sebalik usia yang sudah lanjut dan kudratnya tidak sehebat dahulu, namun semangat yang ada pada dirinya sungguh luar biasa. Jarum dan benang emas bagaikan sudah sebati dengan dirinya dan beliau belum menunjukkan tanda-tanda untuk mengundurkan diri.

Malah jari-jemarinya masih mampu menekat biarpun peredaran waktu menjadi saksi kepada jari-jemari yang dahulunya halus perlahan-lahan menampakkan kedutan pengalaman dan usia.

Berpegang kepada prinsip, "agama dididik, moden dibela", Azizah sering melakukan pengubahsuaian dalam seni kraf tekatan yang lebih kontemporari.

Selain corak yang klasik, kreativitinya boleh dilihat pada motif bunga yang disulam seperti paku-pakis, pucuk rebung, sulur buyung, bunga-bunga padi, anggerik, asam batu, bunga raya, kemboja dan mawar, awan larat serta tulisan khat.

USAHA KRAFTANGAN

Bagi Azizah, Kraftangan banyak mengambil usaha untuk memelihara serta mengangkat industri kraf negara.

Pendedahan kepada penuntut IPT dan IPTA khususnya Institut Kraf Negara (IKN) adalah satu usaha yang bakal berhasil untuk jangka panjang.

"Saya sentiasa mengalu-alukan golongan muda kerana merekalah yang bakal meneruskan warisan kita," katanya yang sering menerima kunjungan penuntut IPT yang berminat mempelajari seni berkenaan.

Sebagai tanda mengiktiraf hasil seninya, beliau sering terpilih mewakili negara ke pameran antarabangsa seperti di Tokyo, Jepun, Singapura, Arab Saudi, Brunei dan Perancis.

Kebanyakan penyertaannya adalah di bawah naungan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kraftangan Malaysia.

Bagaimanapun, kata Tokoh Kraf Negara ini, kenangan paling manis ialah apabila Kraftangan Malaysia pada Hari Kraf Kebangsaan 2018 lepas menyediakan satu slot khas di dalam Muzium Kraf buat para pengunjung melihat sendiri keindahan sulaman tekat benang emas yang menjadi koleksi beliau.

Antara yang dipamerkan ialah set hiasan pelamin seperti kipas, cior (alas duduk pengantin), kusyen, ombak-ombak, tetampan, bantal inai beserta tikar langkat.

Terdapat juga set bilik tidur dan set kelengkapan rumah serta pakaian termasuk kasut, beg tangan dan hiasan kepala yang nilai keseluruhannya melebihi RM100,000.

BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu