malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Agrobank komited sokong agenda Agro Sarawak

Tarikh kemaskini: 16/04/2018
 

KUCHING, 16 April (Bernama) -- Agrobank bersedia untuk bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Serantau (Recoda) Sarawak dan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri itu untuk mengenal pasti projek pertanian dan agro-perniagaan yang boleh membangunkan semula tanah adat serta meningkatkan nilai ekonominya.

Presiden /Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Syed Alwi Mohamed Sultan dalam satu kenyataan berkata: "Kami berharap usaha ini akan memberi kesan sosio-ekonomi positif terhadap peluang pekerjaan dan penciptaan kekayaan bagi petani tempatan dan usahawan di Sarawak serta menyumbang ke arah eksport hasil pertanian kita."

Terdahulu, delegasi Agrobank yang diketuai oleh Pengerusi, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana di Petra Jaya, di sini. Ia adalah sebahagian daripada lawatan kerja pasukan pengurusan bank itu ke Sarawak.

Syed Alwi berkata bank itu telah lama berada di Sarawak, sejak pembukaan cawangan pertama Bank Pertanian Malaysia Bhd di Kuching dan Sarikei pada 1976.

"Pada masa ini, Agrobank mempunyai hampir 20,000 pelanggan di Sarawak meliputi empat segmen yang terdiri daripada pelanggan korporat, komersial, pengguna dan pelanggan pembiayaan mikro. Kami memberi khidmat kepada pelanggan ini melalui rangkaian 13 cawangan, lima kiosk, empat sudut agro, 51 ejen agro dan 33 outlet ATM di seluruh negeri.

"Di kebanyakan bandar terutamanya di Sarawak, Agrobank merupakan satu-satunya bank yang memberi perkhidmatan kepada para pelanggan, selaras dengan komitmen inklusif kewangan kami yang berkhidmat kepada komuniti termasuk yang tidak terjangkau. Mengenai masa hadapan, kami sentiasa meninjau untuk mengembangkan rangkaian operasi kami di Sarawak," katanya.

-- BERNAMA



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu