malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Kerangka keselamatan domestik penting pastikan keamanan, keselamatan serantau - Najib

Tarikh kemaskini: 16/04/2018
 

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerangka keselamatan domestik bagi sesebuah negara adalah bahagian penting yang akan menyumbang kepada keamanan dan keselamatan serantau secara keseluruhannya.

Beliau menegaskan asas keselamatan antarabangsa akan menjadi lemah apabila negara-negara tidak menangani dengan baik keselamatan populasi mereka sendiri.

"Apabila kita bercakap tentang kerangka keselamatan serantau, kita cenderung untuk berfikir tentang apa yang negara-negara sedang lakukan bersama.

"Tetapi kerangka keselamatan domestik kita merupakan bahagian penting secara keseluruhannya," katanya dalam ucapan semasa merasmikan Forum Putrajaya 2018 yang diadakan bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NatSec) Asia 2018 di sini, hari ini.

Berucap di hadapan lebih 1,000 perwakilan tempatan dan antarabangsa pada forum itu, Najib berkata di Malaysia, kerajaan telah meluluskan beberapa undang-undang termasuk Akta Majlis Keselamatan Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) untuk memastikan warganegaranya dilindungi dan pasukan keselamatan dapat menjalankan tugas mereka dengan bebas.

Najib berkata kejayaan negara dalam membanteras ancaman keselamatan juga terbukti berkesan apabila hanya terdapat satu serangan separuh berjaya yang dikaitkan dengan Daesh di Malaysia.

"Syukur, tiada nyawa yang terkorban tetapi kita perlu bersiapsiaga. Malah dari 2013 sehingga kini, 389 individu telah ditahan di Malaysia kerana terbabit aktiviti berkaitan Daesh, katanya dan menurutnya kerajaan akan memastikan semua pasukan keselamatan mempunyai peralatan perlu untuk memerangi masalah itu.

Perdana menteri menegaskan bahawa berita palsu juga merupakan ancaman terhadap keselamatan negara apabila ia digunakan sebagai alat campur tangan oleh kuasa luar.

Beliau berkata kerajaan Malaysia tidak akan mempertaruhkan kedaulatan negara dengan membenarkan negara-negara lain atau individu-individu untuk merencanakan negara ini.

Masa depan negara kami akan ditentukan sendiri oleh rakyat Malaysia, dan mereka perlu berbuat demikian berdasarkan fakta, bukannya pembohongan-pembohongan menerusi berita palsu, propaganda, janji-janji palsu dan ilusi, katanya.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional akan terus menjamin serta memelihara kebebasan dan keselamatan rakyatnya dan pada masa sama meningkatkan usaha dalam menguruskan dan membendung semua bentuk ancaman pada masa kini dan masa depan.

Antara langkah diambil adalah meningkatkan jumlah kamera litar tertutup berdefinisi tinggi di kawasan jenayah tinggi, meningkatkan keupayaan senjata pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah dan menambah pos-pos kawalan dan menaik taraf sistem pemantauan di sepanjang sempadan, katanya.

Di peringkat antarabangsa, Najib berkata Malaysia bersedia untuk menyumbang secara aktif terhadap keselamatan serantau dan mendukung mekanisme serantau bagi kerjasama yang merupakan amat penting terhadap kestabilan rantau ini untuk sekian lama.

Antara kerjasama yang Malaysia terlibat adalah seperti Rondaan Selat Melaka, Rondaan Maritim Tiga Pihak, Fasilitator Pihak Ketiga bagi Proses Damai Selatan Filipina dan juga sebagai fasilitator bagi Dialog Damai Selatan Thailand.

Dalam perkembangan lain, Najib menggesa kerajaan Myanmar untuk menangani isu Rohingya, bagi mencegah elemen militan daripada menyusup masuk ke dalam komuniti itu.

Kami mengakui bahawa kerajaan Myanmar telah memgambil beberapa langkah untuk menangani krisis itu yang banyak pihak menyatakan ia berupa penghapusan etnik. Bagaimanapun, lebih banyak perlu dilakukan.

Punca masalah itu perlu ditangani dengan segera dan kami menggesa kerajaan Myanmar untuk memastikan keselamatan dan memudahkan kepulangan perlarian ke rumah dan komuniti mereka, katanya.

Najib berkata peranan Malaysia dalam menggalakkan kesederhanaan turut mendapat pengiktirafan tinggi masyarakat antarabangsa apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi kesederhanaan Malaysia pada sesi ke-72 Perhimpunan Agung PBB pada tahun lepas.

Katanya penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Kuala Lumpur dengan persetujuan Arab Saudi, berobjektif untuk membetulkan persepsi salah terhadap Islam, turut mencerminkan keyakinan kerajaan Arab Saudi terhadap Kuala Lumpur sebagai rakan utama dalam menggalakkan kesederhanaan dan keselamatan serantau.

-- BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu