malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

KGT hargai produktiviti penjawat awam - CUEPACS

Tarikh kemaskini: 04/04/2018
 

Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan replika cek bernilai RM1,000,000 kepada Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda pada MAPPA XVI.
PUTRAJAYA, 4 April (Bernama) -- Satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan penghargaan bagi pencapaian produktiviti penjawat awam terhadap sektor perkhidmatan awam, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

"Pengiktirafan ini penting dan tidak semua orang beri pengiktirafan sebegini," kata Presidennya Datuk Azih Muda.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 anggota perkhidmatan awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini, Najib mengumumkan satu KGT untuk 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

Ia merupakan KGT di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi 2018.

Pada majlis itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan beberapa insentif untuk penjawat awam dan golongan pesara.

Azih berkata insentif berkenaan adalah manifestasi penghargaan kerajaan kepada sumbangan penjawat awam terhadap kemajuan negara.

"Ia secara langsung menunjukkan kerajaan menghargai sumbangan penjawat awam yang telah meletakkan negara pada landasan yang betul," katanya selepas menghadiri majlis itu.

Azih berkata seluruh kepimpinan CUEPACS menghargai dan berterima dengan semua insentif yang diumumkan perdana menteri.

"Semua budi dan jasa yang diberi kepada kami ini tentu kami tidak lupakan.

"Insya-Allah, kami berjanji akan terus menampilkan produktiviti dengan lebih kukuh dan baik bagi mengangkat negara kita seperti disebut perdana menteri iaitu 'Par Excellence Duniawi' dan 'Par Excellence Ukhrawi'," katanya.

-- BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu