malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Sebanyak RM1.14 bilion kerugian direkodkan akibat pelaburan haram

Tarikh kemaskini: 13/03/2018
 
ROMPIN, 13 Mac (Bernama) -- Kerugian RM1.14 bilion dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh dua tahun sejak 2015 akibat kegiatan pelaburan haram melibatkan 758,851 mangsa.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Jamil Salleh berkata, isu ini dipandang serius oleh kementerian dan sedang berusaha untuk mengekangnya termasuk melalui Kempen Kesedaran Scam atau #scamalert2018.

Kempen ini dilaksanakan sebagai inisiatif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengekang pelaburan haram dalam kalangan masyarakat yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini termasuk melibatkan penipuan umrah, kata beliau.

"Antara jenayah penipuan yang mencatat jumlah tertinggi ialah penawaran pelaburan e-money (tanpa produk) melibatkan kerugian sebanyak RM700 juta, penawaran pelaburan mata wang asing yang tidak berlesen dan lain-lain pelaburan haram sebanyak RM200 juta serta pelaburan dalam pertukaran wang asing dan penternakan sebanyak RM130 juta.

Sehubungan itu kita minta masyarakat lebih peka dan membuat aduan terus kepada SSM jika timbul keraguan berkenaan skim yang ditawarkan sebarang pihak kepada mereka," katanya selepas merasmikan Karnival Youngpreneurs Go (YPGO) di Universiti Teknologi Nasional (UNITEN) Muadzam Shah, Rompin.

Hadir sama Naib Canselor UNITEN, Prof Datuk Dr Kamal Nasharuddin Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.

Sementara itu, Zahrah yang ditemui berkata bahawa hanya 205 skim pelaburan pelbagai jenis yang berdaftar dengan suruhanjaya itu setakat ini.

"Kes seumpama ini telah memberi impak negatif terhadap ekonomi masyarakat umum yang menyebabkan kerugian wang berjuta ringgit.

Sehubungan itu SSM berharap agar kempen ini mampu menyebarkan maklumat dan ciri-ciri pelaburan haram serta mendidik orang awam untuk melabur dalam pelaburan sah dan menyimpan maklumat berkenaan pelaburan disertai," katanya.

Sejumlah 1,500 penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyertai Karnival YPGO di lokasi pertama program yang dianjurkan anak syarikat di bawah KPDNKK itu tahun ini.

Karnival YPGO bertujuan untuk memberi kesedaran kepada belia mengenai kepentingan dan kelebihan mendaftarkan entiti perniagaan mereka selain menggalakkan lebih ramai dalam golongan itu menceburi perniagaan.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang dua hari karnival berlangsung sejak semalam termasuk seminar keusahawanan dan bual bicara bersama selebriti dan usahawan atas talian serta pameran dan jualan gerai siswa.

-- BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu