malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Agong Berangkat Ke Majlis Labuan Berselawat Dan Program Ilmiah

Tarikh kemaskini: 09/02/2018
 
LABUAN, 9 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Majlis Labuan Berselawat dan Program Ilmiah yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan Labuan di sini malam sempena lawatan rasmi baginda selama dua hari ke Labuan.

Baginda yang memakai jubah dan kopiah berwarna putih berangkat tiba pada 8.25 malam dan disambut oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Seri Paduka menyertai bersama lebih 2,000 orang pada majlis itu, iaitu satu daripada program yang diatur sempena lawatan baginda dan Hari Wilayah Persekutuan.

Program Ilmiah dengan tajuk ?Melahirkan Wilayah Baldatun Thoyyibatun? menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Datuk Badli Shah Aludin sebagai anggota panel.

Ini merupakan lawatan sulung Seri Paduka ke Labuan selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 untuk penggal selama lima tahun pada 13 Dis tahun lepas.

Baginda akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada malam yang sama.

-- BERNAMA









 
 
 

       Berita Utama Terdahulu