malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Amran, Zhen Yi Rangkul Kejuaraan Cabaran Duathlon Labuan 2018

Tarikh kemaskini: 04/02/2018
 

LABUAN, 4 Feb (Bernama) -- 'Ironman Bomba', Mohd Amran Abdul Ghani dan perenang muda negara, Yeong Zhen Yi masing-masing menjuarai kategori terbuka lelaki dan wanita pada edisi keempat Cabaran Duathlon Labuan 2018 di sini, hari ini.


Cuaca panas tidak menghalang kedua-dua peserta sukan tahan lasak itu untuk mengetepikan cabaran daripada 439 peserta tempatan dan luar negara dalam tiga disiplin perlumbaan iaitu larian sejauh empat kilometer, berbasikal 30km dan larian sekali lagi sejauh empat kilometer.


Mohd Amran, seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bukit Jelutong, Selangor, merangkul kejuaraan dengan mengetepikan cabaran penjelajah Kutub Selatan, Shahrom Abdullah dari Kelantan di tempat kedua dan wakil Brunei, Muhamad I\'maadi Abd Aziz di tempat ketiga.


Atas kejayaan itu, Mohd Amran, 37, bekas atlet terbaik negara pada Ironman Malaysia 2014, berjaya membawa pulang hadiah wand tunai RM3,000 manakala naib juara pula menerima RM2,000 dan RM1,500 untuk pemenang tempat ketiga.


Dalam pada itu, Zhen Yi, 15, mengatasi cabaran Jessica Tang Wei Lee dan Serena Yang untuk meraih tempat pertama dalam kategori wanita terbuka serta membawa hadiah wang tunai RM3,000.


Wei Lee, selaku naib juara, menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan Yang pula mendapat RM1,500.


Atlet triathlon negara dan bekas juara Cabaran Lasak Pantai Terengganu 2005, Mohamad Razani Husain muncul juara dalam kategori veteran lelaki manakala naib juara disandang oleh bekas juara acara Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu, Guainus Salagan.


Tempat ketiga di dimenangi oleh Yusof Tungkop.


Pasukan Victory Squadron dari Brunei merangkul kejuaraan kategori Relay Lelaki manakala pasukan Casero dari Malaysia memenangi tempat kedua dan ketiga.


Selain peserta Malaysia, kejohanan tersebut turut menarik peserta dari Brunei, Perancis, New Zealand, Belanda, Thailand, Filipina dan Britain.


Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.


-- BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu