Jabatan Perhutanan Kedah tahan tiga lelaki teroka hutan simpan secara haram [ 2m ago ]

Isa Samad Tidak Bercadang Adakan Sidang Media Isu Tanah Felda

Tarikh kemaskini: 31/12/2017
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Gambar fail Bernama)
PORT DICKSON, 31 Dis (Bernama) -- Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata beliau tidak bercadang untuk mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan berhubung isu pemindahan hak milik tanah agensi berkenaan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.



Katanya ini kerana beliau tidak mahu timbul sebarang salah faham dan salah anggapan mengenai isu tersebut.



"Kalau nak cari gaduh, bolehlah, tapi kita tidak hendak cari gaduh," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.



Beliau ditemui selepas majlis penyampaian beg sekolah kepada 49 orang murid dalam program 'Kembali ke Sekolah' anjuran Yayasan Pelajaran Mara dengan kerjasama Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang di Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di sini, hari ini.



Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil beliau untuk memberi keterangan pada minggu depan berhubung isu tersebut, Mohd Isa berkata beliau tidak mengetahui perkara itu.



"Saya tak tahu...setakat ini saya belum dipanggil polis. Kalau dipanggil saya sedia beri kerjasama. Kalau polis panggil, saya akan maklumkan kepada media....orang pertama yang akan saya beritahu ialah media," katanya.



-- BERNAMA





BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu