Skuad Bola Sepak CP sasar emas pada sukan Para ASEAN 2020 [ 6m ago ]

Berbuka Puasa Bersama PM, Suntik Semangat Pacu Kecemerlangan - Pelajar KAYM

Tarikh kemaskini: 13/06/2017
PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Bagi pelajar Muhammad Danial Akil Mohd Swalitan, majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana, di sini pada minggu lepas menyuntik semangatnya untuk terus memacu kecemerlangan.



Beliau yang merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) berkata kesudian perdana menteri berbuka puasa bersama wakil kepimpinan pelajar dari seluruh negara menunjukkan sifat keprihatinan dan ambil berat beliau terhadap golongan muda dan pelapis pemimpin masa depan negara.



"Suntikan dan semangat perdana menteri sempena bulan Ramadan yang mulia ini bakal melakarkan inspirasi kepada kepimpinan mahasiswa negara dalam memacu kecemerlangan Malaysia ke arah melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi dan berdaya saing.



"Majlis ini memberi mesej yang jelas bahawa Perdana Menteri mahukan mahasiswa menjadi tonggak dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengekalkan keharmonian dan keamanan sejagat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



Pada 8 Jun, seramai 10 pemimpin pelajar KAYM berbuka puasa bersama Najib dan tokoh-tokoh akademik universiti terkemuka tanah air. Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.



Bagi pelajar Syakira Suhaimi berkata majlis berbuka sebegini dapat mengeratkan hubungan antara rakan-rakan kepimpinan mahasiswa universiti lain dalam konteks idea memperkasa pendidikan tinggi negara.



Sementara itu Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi berkata mesej yang disampaikan perdana menteri sangat sinonim dengan hasrat KAYM iaitu untuk menggerak usaha generasi memperkasakan generasi muda dalam memberikan asas dan peluang kepada mereka menyumbang kepada pembangunan negara.



"Kami berasa bangga kerana KAYM satu-satunya kolej dari negeri Melaka yang diberi kepercayaan untuk mewakili Melaka di majlis tersebut," katanya.



-- BERNAMA




       Berita Utama Terdahulu