PATI lari dari Depot Tahanan Imigresen Miri ditahan semula [ 8m ago ]

Berita EKONOMI


Ringgit ditutup rendah berbanding dolar US

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Ringgit susut daripada aliran meningkat semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar US hari ini, berikutan sentimen positif mengenai rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang mengubah minat pelabur kepada mata wang selamat, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1310/1360 berbanding dolar US daripada 4.1225/1255 pada Khamis.

Peniaga berkata dolar US mendapat semula momentumnya berikutan berita mengenai China dan AS bersetuju untuk mengurangkan tarif sebagai sebahagian daripada persepakatan awal yang mempunyai potensi untuk menamatkan perang perdagangan mereka.

Bagaimanapun, laporan berita hari ini menyatakan masih terdapat keraguan mengenai perjanjian perdagangan berikutan pegawai dalam dan luar White House tidak berpuas hati dengan idea untuk melepaskan tarif punitif.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0377/0418 daripada 3.0382/0408 pada Khamis dan naik berbanding yen kepada 3.7774/7830 daripada 3.7797/7828.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.2906/2986 daripada 5.3036/3095 dan menokok berbanding euro kepada 4.5594/5666 daripada 4.5661/5706.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu