Durian crepe, keropok Cik B, kopi herba ginko madu kelulut dapat sambutan di China [ 28m ago ]

Berita EKONOMI


Bursa kekal rendah pada tengah hari oleh aktiviti pengambilan untung

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi pada paras rendah disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi.

Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras turun .68 mata kepada 1,607.93 daripada 1,609.33 semasa ditutup pada Khamis dan berlegar antara 1,606.02 dan 1,611.34.

Indeks utama dibuka 2.24 mata lebih rendah pada 1,607.09.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 355 berbanding 319 dengan 432 kaunter tidak berubah, 887 tidak diniagakan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.71 bilion saham bernilai RM928.94 juta.

Seorang penganalisis berkata pelabur ketika ini mengambil petunjuk daripada keuntungan yang diraih dalam minggu ini, selepas penanda aras bursa tempatan meningkat melebihi paras 1,610.

"Selain pengambilan untung, mereka juga sedang menunggu data utama yang akan dikeluarkan minggu depan termasuk kadar pengambilan pekerja, data perindustrian serta keluaran dalam negara kasar bagi suku ketiga 2019," katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, IOI Corporation turun satu sen kepada RM4.33, Maxis dan Sime Darby merosot lima sen RM5.44 dan RM2.30, Hong Leong Financial turun 20 sen kepada RM17.28 dan Petronas Gas susut enam sen kepada RM16.54 .

Bagi saham aktif, Sapura Energy menokok dua sen kepada 28 sen, Spring Art yang pertama kali disenaraikan dan Trive Property serta NETX masing-masing tidak berubah pada 25 sen, 1.5 sen dan dua sen.

Bagi saham untung, Southern Acids naik 15 sen kepada RM3.80, UWC meningkat 13 sen kepada RM2.67 dan Sarawak Consolidated naik 10 sen kepada RM1.81, manakala bagi saham rugi, Nestle merosot 50 sen kepada RM146.40, United Plantation turun 88 sen kepada RM25.00 dan Hong Leong Financial susut 20 sen kepada RM17.28.

Indeks FBM Emas turun 5.68 mata kepada 11,383.69, Indeks FBMT 100 merosot 6.93 mata kepada 11,195.11 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 11.39 mata kepada 11,908.42.

FBM Ace merosot 25.71 mata kepada 4,961.07 dan FBM 70 naik 10.96 mata kepada 14,098.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 5.23 mata kepada 15,686.18, Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian naik 0.09 mata kepada 154.98 dan Indeks Perladangan turun 32.98 mata kepada 6,865.77.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu