EKONOMI

MTDC, CADS JALIN KERJASAMA BIMBING BAKAT SAINS DATA BAGI INDUSTRI 4.0

14/11/2019 03:49 PM

SERDANG, 14 Nov-- Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) menjalinkan kerjasama dengan Pusat Sains Data Gunaan (CADS) bagi bidang sains data serta pengkhususan dan kemahiran analisis dan kepintaran buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata kerjasama itu akan menggalakkan pendidikan di samping menyediakan latihan profesional dan pembangunan modul dalam bidang berkaitan.

“Pihak yang menerima manfaat kerjasama ini ialah siswazah baharu dari universiti tempatan dan usahawan teknologi, dengan mereka berpeluang menjalani pembelajaran sepanjang hayat dan kemahiran tambahan atau memperolehi kemahiran baharu.

“Ia penting memandangkan mereka memasuki pasaran tenaga kerja Industri 4.0 (I4.0),” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CADS di sini, hari ini.

Bagi permulaan kerjasama ini, sebanyak 18 peserta program Sains Data Kebolehgajian Siswazah 14.0 Kementerian Pendidikan-MTDC (KPM-MTDC GE I4.0) mengikuti program 14 modul yang dijalankan CADS.

Program tiga bulan itu, yang akan berakhir Disember ini, melibatkan latihan analisis data intensif, bimbingan serta penempatan industri.

18 peserta itu merupakan sebahagian daripada 300 siswazah bagi program KPM-MTDC GE I4.0 (peserta ditempatkan di syarikat bimbingan MTDC).

Selain itu, 18 peserta berkenaan akan menjalani temu duga lapangan di bawah suai padan industri jangka pendek dengan syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat multinasional.

“Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi MTDC memandangkan kami menyediakan latihan berkaitan menerusi Akademi Latihan Usahawan Teknologi (TENTRA) sebagai sebahagian usaha kami untuk memberi kemahiran tambahan kepada para siswazah dan tenaga kerja kita agar mereka bersedia bagi I4.0,” katanya.

TENTRA membimbing pesertanya untuk terlibat dalam data sains masa depan selain menjadi penganalisis data, jurutera data, jurutera data perniagaan serta pekerjaan lain yang berkaitan.

Pengasas dan CEO CADS, Sharala Axryd berkata usaha menerusi program ‘Data Star’ akan menyediakan pakar sains data bagi MTDC untuk mereka menjadi pembimbing selain menjalankan analisis sains data dan bengkel berkaitan AI.

“Peserta ‘Data Star’ kami telah berjaya ditempatkan di syarikat terkemuka Malaysia dan syarikat multinasional malah dalam industri minyak dan gas, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan lain-lain di luar negara,” katanya.

Beliau berkata sejak program itu dilancarkan pada 2017, CADS menerima 1,253 permohonan dalam lapan peringkat, dengan 231 alumni ‘Data Star’ telah menjalani latihan kemahiran tambahan untuk memanfaatkan nilai dalam organisasi dipacu data.

CADS, ditubuhkan pada Oktober 2015, merupakan platform sehenti dan pusat kecemerlangan sains data yang pertama dan satu-satunya di rantau Asia Tenggara untuk memperkasakan generasi profesional data masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan