Serba Dinamik sasar lebih banyak projek penyelenggaraan pintar [ 1m ago ]

Berita EKONOMI


CTL beri impak positif kepada ekonomi

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai
Laporan Eksklusif Oleh: Siti Fauziah Hasan

KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Pelaksanaan had transaksi tunai (CTL) dilihat akan memberi kebaikan kepada ekonomi dalam jangka masa panjang, kata Pakar Ekonomi, Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Beliau berkata keadaan itu berlaku apabila pengguna mula berpindah kepada perbankan digital melalui mata wang digital yang seterusnya menjadikan urus niaga lebih cekap dan berkesan.

"Apabila pengguna sudah menyesuaikan diri menggunakan mata wang digital, mereka akan lebih bersedia dan berminat untuk melakukan urus niaga.

“Oleh itu, urus niaga yang lebih besar dapat dilakukan dan memberi impak positif kepada ekonomi dari segi kesan penggandaan dan jumlah dagangan perniagaan.

"Kualiti kehidupan manusia juga akan meningkat berikutan orang ramai membuat transaksi secara dalam talian yang lebih menjimatkan masa. Ini bermakna pengguna tidak perlu lagi ke bank untuk membuat urusan secara formal," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Barjoyai berkata Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mempunyai satu sistem kod seperti di negara maju untuk mengesan semua urus niaga dalam talian untuk merealisasikan usaha mencegah aktiviti keganasan dan ekonomi bayangan.

Ekonomi bayangan atau hitam merujuk kepada aktiviti tidak membuat pengisytiharan bagi cukai yang perlu dibayar atau tidak.

Beliau berkata penggunaan kod dengan nombor kad pengenalan boleh digunakan yang membolehkan kerajaan mendapatkan data untuk melihat keadaan ekonomi di pasaran.

"Ini bermakna BNM boleh mengesan individu yang tidak membayar cukai atau menjalankan urus niaga yang mencurigakan dan melarikan diri daripada pihak berkuasa," katanya.

Semalam, Timbalan Gabenor BNM dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata kerajaan bercadang untuk menguatkuasakan CTL sebanyak RM25,000 mulai tahun depan.

Ia bertujuan memperkukuh integriti kewangan negara dan menangani penyalahgunaan wang tunai yang digunakan untuk aktiviti haram.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata langkah itu tidak memberi impak yang besar kepada pengguna berikutan ketika ini sebahagian besar telah beralih kepada urus niaga yang menggunakan cek atau secara dalam talian.

"Oleh itu, tidak timbul isu, penggunaan wang tunai sekarang mungkin sudah kurang. Ia sebenarnya mendedahkan kepada risiko.

“Apabila urus niaga melibatkan jumlah yang besar sehingga RM20,000, misalnya, adalah lebih selamat jika dibuat secara dalam talian atau menggunakan cek,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Syazwan Husaini Sanusi, 40, berkata pelaksanaan CTL akan dapat meningkatkan dan mengukuhkan urus niaga perniagaan melalui platform elektronik seperti e-bayaran atau e-dompet yang ternyata lebih selamat.

"Pada pendapat saya, CTL merupakan satu inisiatif yang amat baik yang secara tidak langsung dapat mengawal kegiatan jenayah seperti rasuah dan penyelewengan.

"Kita boleh lihat aktiviti penipuan yang dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab pada masa ini sedang berleluasa,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu