Durian crepe, keropok Cik B, kopi herba ginko madu kelulut dapat sambutan di China [ 27m ago ]

Berita EKONOMI


Chin Hin jual pelbagai hartanah pada harga RM76.45 juta

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
KUALA LUMPUR, 8 Nov -- Chin Hin Group Bhd sedang melupuskan pelbagai hartanah di Kedah, Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada harga sebanyak RM76.45 juta seiring dengan strateginya untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan.

Pengeluar bahan-bahan binaan itu menjual hartanah seperti kilang, pejabat kedai dan rumah kepada pemegang saham utama PP Chin Hin Realty (PP CH Realty), yang dimiliki oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Chin Hin, Datuk Seri Chiau Beng Teik dan Pengarah Urusan Kumpulan Chiau Haw Choon.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memberitahu ia juga telah menandatangani 14 perjanjian penyewaan dengan Midas Signature Sdn Bhd, yang turut dimiliki oleh PP CH Realty membabitkan cadangan berkaitan beberapa hartanah yang dilupuskan iaitu lima pejabat kedai dan 89 unit ruang meletak kereta di Kuala Lumpur serta tujuh pejabat kedai di Kedah.

Subsidiari Chin Hin iaitu Metex Steel Sdn Bhd yang mengeluarkan pagar dawai akan terus menyewa kilang di Nilai yang telah dijual kepada PP CH Realty.

"Cadangan ini membolehkan kumpulan untuk membuka nilai aset hartanahnya pada nilai pasaran dan mengumpul tunai yang boleh disalurkan ke arah operasi perniagaan," kata syarikat berkenaan.

Chin Hin telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta daripada hasil untuk membayar balik sebahagian daripada pinjaman bank sedia ada yang berjumlah RM521.41 juta pada 31 Dis 2018. Sejumlah RM23.45 juta lagi akan dipakai untuk membeli gelungan dawai termasuk lain-lain inventori.

Chin Hin ketika mengulas mengenai cadangan penyewaan itu berkata, ia akan memberi jaminan kepada kumpulan bahawa operasi perniagaannya akan sentiasa berterusan tanpa gangguan.

Keuntungan ini juga membolehkan kumpulan mengekalkan operasi ibu pejabat di Kuala Lumpur dan pejabat cawangan serta gudangnya di Kedah.

Selepas penyempurnaan cadangan pelupusan ini, kumpulan dijangka akan mengiktiraf keuntungan bersih sekali sahaja iaitu sebanyak RM12.36 juta dan jumlah bersih faedah simpanan sebanyak RM180,000 setahun.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu