SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 4h ago ]

Berita EKONOMI


CYpark bekerjasama dengan MBI Kedah & NS Corp pacu pertumbuhan pasaran RE

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Cypark Resources Bhd memeterai dua Memorandum Usaha Sama Perniagaan (MoBC) dengan Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) dan Negeri Sembilan Corporation (NS Corp) untuk meningkatkan pertumbuhan pasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) menerusi pemeteran tenaga bersih (NEM) yang disokong kerajaan dan potensi inisiatif Rakan Setara (P2P).

Dalam kenyataan hari ini, CYpark berkata kerjasama dengan MBI Kedah akan menyaksikan Cypark membawa pelaburan hijau dan teknologi bersih dengan membangunkan bekalan tenaga boleh diperbaharui untuk bangunan milik negeri dan berkaitan negeri di seluruh Kedah di bawah inisiatif NEM dan Perjanjian Pembekalan untuk Tenaga Diperbaharui (SARE).

"Anggaran pelaburan untuk kerjasama ini boleh mencecah sehingga RM500 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, kerjasama dengan NS Corp adalah untuk pembekalan dan pembangunan tenaga hijau untuk bangunan milik negeri dan berkaitan negeri di Negeri Sembilan.

"Kerjasama ini akan menyaksikan potensi pelaburan sehingga RM250 juta untuk mewujudkan inisiatif NEM dan SARE sehingga 50 mw dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutif Cypark Tan Sri Razali Ismail berkata MoBC akan menyumbang secara positif kepada prestasi masa depan syarikat dan juga akan memberi manfaat kepada MBI Kedah dan NS Corporation dengan ketara, kerana mereka dapat memanfaatkan kepakaran teknikal dan kecemerlangan operasi Cypark dalam memenuhi aspirasi mereka dalam bidang ekonomi kitaran hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu