Mohammad Hashim, Azizan terima anugerah khas Hadhari Global Award [ 5h ago ]

Berita EKONOMI


TNB, MGTC pasang 100 stesen cas kenderaan elektrik menjelang akhir 2019

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya TNB Energy Services Sdn Bhd dan rakan kongsi Malaysia Green Technology Corporation (MGTC) bercadang memasang 100 stesen mengecas kereta elektrik (EV) dengan nilai pelaburan RM1.5 juta menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan TNBES Dr Ahmad Jaafar Abd Hamid berkata setakat ini, 14 stesen ChargEV telah dipasang, manakala 35 lagi lokasi berpotensi masih menunggu kelulusan daripada pemilik-pemilik premis sebelum diteruskan.

“TNBES dan MGTC berusaha secara agresif untuk mendapatkan pengendali tempat letak kereta utama, pemilik pusat membeli belah dan rangkaian hotel untuk memperluas rangkaian stesen ChargEV di bandar-bandar utama di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran projek pengembangan infrastruktur EV TNBES dan MGTC bersempena Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia Ke-10 (iGEM) 2019 di sini hari ini.

Ahmad Jaafar berkata TNBES ketika ini sedang memuktamadkan fasa kedua kerjasama dengan MGTC menerusi penubuhan syarikat tujuan khas iaitu Tenaga E Mobility Solutions Sdn Bhd yang akan memperluas potensi perniagaan mengecas EV dan sebarang perniagaan berkaitan mobiliti pintar pada masa depan.

Pada majlis sama, GSPARX Sdn Bhd, sebuah lagi anak syarikat milik penuh TNB memeterai perjanjian bekalan tenaga boleh diperbaharui dengan Ain Medicare Sdn Bhd (AMSB) dan TATI University College (TATIUC) bagi pemasangan sistem solar fotovoltan (PV), masing-masing dengan kapasiti 3,131.5 kilowatt-peak (kWp) dan 999 kWp.

Ketua Pegawai Teroka TNB yang juga Pengarah GSPARX Datuk Nor Azman Mufti berkata menerusi perjanjian itu, GSPARX akan memasang panel solar di kilang farmaseutikal AMSB di Kota Bharu, Kelantan dengan kapasiti 2,533.5 kWp dan di Kulim, Kedah dengan kapasiti 598 kWp.

Dalam tempoh 25 tahun perjanjian tersebut, beliau berkata, AMSB akan menjana tenaga sebanyak 3.315 juta kilowatt (kWh) pada setiap tahun dan penjimatan terkumpul sebanyak RM17.7 juta.

“Bagi perjanjian dengan TATIUC, ia adalah bagi pemasangan sistem solar PV di kampus TATIUC di Kemaman, Terengganu. Dengan potensi penjimatan RM6.24 juta dalam tempoh 25 tahun, sistem solar PV itu akan menjana tenaga sebanyak 1.306 juta (kWh), pada setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, TNB memperkenalkan produk inovatif iaitu myGreen+ yang memberikan pengguna pilihan untuk melanggan tenaga hijau dan menyokong agenda kerajaan untuk menjana 20 peratus bekalan elektrik menerusi sumber tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025.

Ketua Pegawai Runcit TNB Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata bagi pelanggan yang melanggan myGreen+, TNB akan memadankan 100 peratus langganan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Susulan pengenalan myGreen+, pelanggan boleh menyokong tenaga hijau mulai RM8 sebulan. Mereka juga boleh memilih untuk melanggan blok 100kWh pada kadar lapan sen per kWh,” katanya.

myGreen+ dan Sistem Pengesanan Atribut Hijau Malaysia (mGATS) dilancarkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin di IGEM 2019 hari ini.

Megat Jalaluddin berkata sebarang pelaburan utama atau kontrak adalah tidak perlu untuk melanggan myGreen+ dan pelanggan boleh membatalkan langganan mereka pada bila-bila masa.

Berikutan semakin ramai pelanggan melanggan myGreen+, beliau berkata pengenalan tenaga hijau dalam sistem elektrik akan meningkat, sekali gus mengurangkan keperluan ke arah penjanaan elektrik berasaskan bahan api fosil.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu