Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus - KPN [ 5h ago ]

Berita EKONOMI


Kerajaan bina projek perumahan bandar pintar di bawah RMK-12 - Zuraida

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
KUALA LUMPUR, 11 Sept -- Kerajaan akan membangunkan lebih banyak projek perumahan bandar pintar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur dan bandar lain setanding dengan bandar pintar di negara maju, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Bandar pintar merupakan bandar yang dilengkapi teknologi maklumat dan komunikasi bagi menaik taraf kualiti dan prestasi perkhidmatan di bandar seperti tenaga, pengangkutan dan utiliti untuk mengurangkan penggunaan sumber, pembaziran dan kos keseluruhan.

“Untuk tempoh lima tahun akan datang, kita seharusnya dapat mencapai sekurang-kurangnya 70 ke 75 peratus (indeks bandar pintar) berbanding 52.83 peratus pada masa ini,” katanya kepada pemberita pada program Smart Cities Asia 2019 kelima di sini, hari ini.

Motion Index IESE Cities menyaksikan London berada pada kedudukan teratas sebagai bandar paling pintar dunia dengan skor 100 peratus, diikuti New York di tempat kedua dengan skor 94.63 peratus, manakala Kuala Lumpur menduduki tempat ke-100 dengan 52.83 peratus.

Indeks itu dikeluarkan IESE Business School, University of Navarra, Sepanyol untuk memberi penilaian terhadap bandar yang berkaitan sembilan dimensi utama, antaranya modal insan, kesepaduan sosial, ekonomi dan tadbir urus.

Zuraida berkata, London misalnya merupakan bandaraya maju dan sehubungan itu pencapaiannya sebagai bandar maju adalah lebih hebat.

“Kita juga sedang menuju ke arah itu. Kita mahu menjadi lebih digital, menggunakan lebih banyak lampu diod pemancar cahaya (LED), menggunakan pengurusan data, meningkatkan kelajuan wifi dan mengurangkan trafik,” kata Zuraida.

Sementara itu, ditanya mengenai peruntukan kepada kementerian berkenaan bagi belanjawan akan datang, Zuraida berkata perkara itu belum dimuktamadkan.

Terdahulu, pada majlis yang sama, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) berkata kerajaan akan melancarkan Majlis Bandar Pintar di bawah Rangka Kerja Pembangunan Bandar Pintar Malaysia 2018-2025 menjelang akhir tahun ini.

Rangka kerja itu mengadakan syor atau cadangan kepada 13 ketua menteri dan menteri besar ke arah mewujudkan bandar pintar yang sesuai didiami, boleh kerja dan mampan.

Majlis tersebut menggariskan 78 penunjuk di bawah rangka kerja berkenaan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu