Punca air hitam di Sungai Lukut Kechil bukan disebabkan pencemaran - exco [ 3m ago ]

Berita EKONOMI


MISC dijangka catat prestasi lebih baik pada suku seterusnya

Tarikh kemaskini: 15/08/2019
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- MISC Bhd, dijangka mencatatkan prestasi lebih baik pada suku seterusnya, dipacu kadar semasa lebih baik ditambah dengan unjuran lebih baik selepas mencatatkan pendapatan rendah pada tahun lepas.

Nota penyelidikan daripada pelbagai firma penyelidikan menyatakan syarikat itu kekal dalam saranan "neutral", dengan Kenanga Investment mencadangkan saham MISC akan meneruskan aliran meningkat pada suku itu.

"Pendapatan teras MISC lebih kukuh pada separuh pertama tahun kewangan 2019 (H1 FY19), yang meningkat 46 peratus tahun ke tahun (y-o-y) iaitu lebih tinggi daripada jangkaan kami. Untuk masa depan, kami percaya kumpulan ini mungkin akan mencatatkan pendapatan lebih baik kerana kami melihat risiko adalah terhad terhadap pembayaran dividen secara konsisten dengan aliran tunai operasi kekal stabil," kata Kenanga.

Sementara itu, MIDF berkata peningkatan jumlah kapal yang beroperasi akan mengekalkan keuntungan gas asli cecair (LNG) syarikat.

"Hasil dan keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi segmen LNG pada H1FY19 masing-masing meningkat 3.9 peratus dan 14.5 peratus y-o-y. Pertumbuhan dalam hasil dan PBT akan menyumbang kepada peningkatan jumlah kapal yang beroperasi," katanya.

Affin Hwang Capital berkata pendapatan MISC pada Q2 FY19 adalah selaras dengan jangkaan, disokong prestasi lebih baik dalam segmen LNG dan juga petroleum.

"Q3 lebih rendah dijangkakan sebelum meningkat semula pada Q4 susulan segmen petroleum pada Q3 dijangka lemah, yang sebahagiannya akan terjejas oleh kos bunker lebih tinggi, yang meningkat dari pertengahan Jun hingga Julai sebelum jatuh dengan ketara, berikutan pembetulan dalam harga minyak global pada Ogos," katanya.

Pada 10.10 pagi ini, penanda aras Minyak Mentah Brent berada pada US$58.97, manakala harga saham pada RM7.17 dengan 192,000 saham diniagakan.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu