Pharmaniaga Q2 net profit rises to RM9.28 mln [ 10s ago ]

Berita EKONOMI


StashAway sasar sekurang-kurangnya satu pasaran baharu dalam tempoh setahun

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) — StashAway, robo-penasihat yang berpangkalan di Singapura menyasar untuk menembusi satu atau dua pasaran baharu di Asia Tenggara dalam tempoh setahun selepas berjaya meraih US$12 juta (kira-kira RM50.26 juta) menerusi pembiayaan Siri B baru-baru ini.

Pengurus Negara bagi Malaysia, Wong Wai Ken berkata US$12 juta tersebut akan turut digunakan untuk berkembang di Malaysia dan Singapura, pasaran teras bagi syarikat pemula niaga itu.

“Ketika ini, kami melihat sama ada pengawal atur (bagi sasaran pasaran) bersedia melesenkan robo-penasihat selain jumlah kekayaan pasaran supaya kami dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita di luar taklimat Pelaburan Alaf Baharu anjuran Maybank di sini hari ini.

Platform pengurusan kekayaan pintar itu dilapor telah menyelesaikan pembiayaan US$12 juta diketuai Eight Roads Ventures, cabang pelaburan proprietari Fidelity International, menjadikan jumlah pembiayaan syarikat pemula niaga itu berjumlah US$20.4 juta (kira-kira RM85.45 juta) setakat ini.

StashAway yang ditubuhkan di Singapura pada 2016 oleh bekas ketua pegawai eksekutif kumpulan Zalora Michele Ferrario, bekas pengarah urusan dan ketua derivatif global Nomura Freddy Lim dan usahawan teknologi bersiri Nino Ulsamer.

Syarikat pemula niaga itu berkembang ke pasaran Malaysia pada 2018 selepas menjadi yang pertama diberikan lesen perkhidmatan pasaran modal oleh Suruhanjaya Sekurit Malaysia pada November 2018.

Menurut Wong, kewujudan StashAway bertujuan memenuhi keperluan pelabur yang kurang diberi tumpuan, khususnya di bawah usia 35 tahun.

“Kajian mendapati kurang daripada lima peratus pelabur runcit di Bursa Malaysia adalah mereka yang berumur di bawah 35 tahun berikutan produk sedia ada di negara ini agak mahal. Pelabur memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk memulakan pelaburan,” katanya.

Katanya halangan entri untuk menyertai StashAway juga lebih rendah dan menurutnya pelabur memerlukan hanya RM50 untuk melabur dalam platform tersebut.

Beliau berkata tidak sampai setahun berada di Malaysia, StashAway merekodkan lebih 20,000 pemegang akaun di negara ini dengan lebih 70 peratus daripadanya berusia di bawah 35 tahun.

“Daripada 70 peratus itu, lebih separuh daripadanya merupakan pelabur kali pertama,” kata beliau.

Menurut Wong, kepelbagaian portfolio Dana Dagangan Bursa yang dipilih syarikat itu mampu mencatat dua kali ganda daripada jumlah pemegang akaun pada masa akan datang.

Ketika ini, pilihan ETF StashAway termasuk ekuiti seperti ekuiti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia-Ex Japan; pendapatan tetap seperti bon kerajaan AS 1-3 tahun, Pelaburan AS Gred 1 dan bon boleh ubah AS, hartanah seperti hartanah dan komoditi AS seperti emas.

Wong berkata berdasarkan prestasi Singapura, syarikat itu melihat pulangan sebenar enam hingga 22 peratus dalam masa dua tahun, iaitu kira-kira tiga hingga 11 peratus setahun.

“Pasaran Malaysia menjejaki prestasi rakan Singapuranya,” katanya.

Wong berkata syarikat itu mengambil hampir 100 peratus bahagian pasaran di negara ini berikutan pesaingnya yang masih baharu.

— BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu