BERNAMA.com - Gloway Marketing Sasar Pertumbuhan Berganda Menerusi Lapan Snek Jenama Upin & Ipin
malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

BERITA EKONOMI

 

Gloway Marketing Sasar Pertumbuhan Berganda Menerusi Lapan Snek Jenama Upin & Ipin

Tarikh kemaskini: 09/02/2018
 
SHAH ALAM, 9 Feb (Bernama) -- Gloway Marketing Sdn Bhd, pengedar produk snek menggunakan jenama animasi terkenal, Upin dan Ipin, menyasarkan pertumbuhan berganda menerusi penjualan lapan produk makanan ringan tahun ini.

Pengarah Urusannya Evans Khoo berkata sasaran itu berdasarkan perancangan syarikat untuk mengeksport produk makanan ringan berjenama 'PINPIN' ke tiga negara Asean tahun ini iaitu Indonesia, Selatan Thailand dan Brunei.

"Produk berkenaan adalah "PINPIN Biscuits", "PINPIN Wafer", "PINPIN SnekMi" dan "PINPIN Corn Snack" yang setiap satu mempunyai dua perisa yang menjadikan jumlah keseluruhan lapan produk.

"Kita akan fokus untuk menembusi pasaran Indonesia pada separuh pertama tahun ini berdasarkan sambutan luar biasa bagi siri animasi Upin dan Ipin di negara itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran dua produk baharu PINPIN iaitu "PINPIN SnekMi" dan "PINPIN Corn Snack" oleh Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi di sini hari ini.

Khoo berkata syarikatnya telah memulakan segala perancangan sejak enam bulan lepas untuk menembusi pasaran Indonesia termasuk proses untuk mendapatkan sijil halal dan mencari rakan kongsi sesuai untuk mengedar produk di sana.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat juga akan memperluaskan pasaran snek PINPIN ke lebih banyak pasar raya di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Gloway Marketing adalah rakan kongsi produk bersama UI Trading iaitu anak syarikat Les' Copaque Production, sebuah syarikat penerbitan dan studio animasi 3D yang menerbitkan animasi Upin dan Ipin.

-- BERNAMA









 
 
 

       Berita Utama Terdahulu