Nelayan Tuaran mengeluh hilang pendapatan akibat jerebu [ 58m ago ]

BERITA DUNIA


Korea Utara uji meriam pelancar roket berbilang laras

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
SEOUL, 11 Sept (Bernama) -- Korea Utara pada Rabu menyatakan ia menguji meriam pelancar roket berbilang laras gergasi semalam, lapor agensi berita Yonhap.

Pada Selasa, tentera Korea Selatan berkata, pihak Korea Utara melancarkan dua peluru meriam jarak sederhana ke arah timur dari wilayah Barat Korea Utara.

Mereka menyatakan peluru berkenaan terbang setinggi 50 hingga 60 kilometer dengan jarak kira-kira 330 kilometer.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un "menetapkan arah ujian tembakan meriam pelancar roket berkenaan pada Selasa," lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Kim turut berkata, ujian terbaru itu mengesahkan beberapa aspek berkaitan kemampuan operasi tempur senjata berkenaan, karektor pergerakan peluru meriam, ketepatan dan beberapa fungsi berkaitan.

"Ujian berikutnya aalah membabitkan karektor paling penting berkaitan kemampuan meriam pelancar roket berbilang laras itu," katanya.

"KCNA, bagaimanapun, tidak menyatakan sama ada ujian berkenaan berjaya atau tidak berbanding laporan sebelum ini berhubung ujian pada 24 Ogos lalu.

"Ketika itu Korea Utara mendakwa ia berjaya melakukan ujian meriam pelancar roket yang baru dibangunkan," lapor Yonhap.

Sesetengah pakar meramalkan salah satu peluru berkenaan mungkin tidak sampai ke sasaran ditetapkan, disyaki di perairan luar pantai Korea Utara.

Gambar yang diedarkan Korea Utara menunjukkan peluru berkenaan dilancarkan daripada pelancar yang kelihatan memiliki empat laras.

Oleh kerana satu daripada empat laras berkenaan ditutup, sesetengah pakar tentera mengesyaki kemungkinan Korea Utara melepaskan tiga das tembakan pada Selasa.

Ujian itu adalah yang ke-10 dilakukan Korea Utara tahun ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu