Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus - KPN [ 5h ago ]

BERITA DUNIA


Sweden selar kenyataan Netanyahu

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
STOCKHOLM, 11 Sept -- Menteri Luar Sweden yang baharu Ann Linde menyelar kenyataan Perdana Menteri Israel yang menyatakan mahu mengilhakkan Lembah Jordan, lapor agensi berita Anadolu memetik stesen penyiar Sweden SVT.

Beliau berkata "penyelesaian dua negara" mestilah menjadi prasyarat untuk menyelesaikan kemelut Israel-Palestin.

Kesatuan Eropah (EU) dan masyarakat antarabangsa menyifatkan keputusan Netanyahu bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, katanya.

Netanyahu berkata Israel akan memberikan kedaulatan ke atas Lembah Jordan dan penempatan lain di Tebing Barat andai beliau memenangi pilihan raya yang akan diadakan pada 17 September.

Dianggarkan 70,000 orang Palestin bersama 9,500 peneroka Yahudi, kini tinggal di Lembah Jordan - tanah besar yang subur merangkumi satu perempat Tebing Barat.

Israel mendakwa lembah itu penting kepada keselamatannya dan tetap menolak sebarang idea melepaskan mana-mana bahagian dalam sebarang penyelesaian dengan Palestin.

Kira-kira 650,000 penduduk Yahudi Israel mendiami di lebih 100 penempatan yang dibina sejak 1967, ketika rejim zionis itu menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Palestin mahukan wilayah-wilayah ini - bersama dengan Semenanjung Gaza - bagi mewujudkan negara Palestin.

Di bawah undang-undang antarabangsa sebarang aktiviti pembangunan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, adalah haram.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu