Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus - KPN [ 5h ago ]

BERITA DUNIA


Rumah Putih bincang calon pengganti Bolton

Tarikh kemaskini: 11/09/2019
WASHINGTON, 11 Sept -- Rumah Putih sedang membincangkan mengenai calon yang akan menggantikan Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) John Bolton, lapor agensi berita Sputnik memetik laporan media.

Setakat ini, sebanyak 10 pencalonan diterima bagi menggantikan Bolton yang dipecat baru-baru ini.

Pada Selasa, Presiden Donald Trump berkata beliau meminta Bolton meletak jawatan disebabkan pergeseran mengenai dasar dan akan melantik pengganti minggu depan.

Jawatan itu akan dipangku timbalan Bolton, Charles Kupperman, sehingga pengganti tetap dilantik.

Antara yang dicalonkan ialah Wakil Khas AS ke Iran Brian Hook, bekas Penasihat Keselamatan Negara Ricky Waddell dan Wakil Khas ke Korea Utara Stephen Biegun, lapor CNN.

Calon lain termasuk Penasihat Keselamatan Negara kepada Pemangku Ketua Turus Mick Mulvaney Rob Blair, Duta Besar AS ke Jerman Richard Grenell, Duta Besar Belanda Pete Hoekstra, jeneral bersara Jack Keane dan Penasihat Keselamatan Negara kepada Naib Presiden Mike Pence, Keith Kellogg.

Selain itu, Kolonel Tentera Darat yang telah bersara Douglas Macgregor dan bekas Ketua Turus kepada Bolton di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Fred Fleitz turut tersenarai.

Bekas Duta Besar AS ke Syria Peter Ford berkata peletakan jawatan Bolton mengurangkan tekanan Washington terhadap Venezuela dan menyambung semula percubaan AS untuk menandatangani perjanjian dengan Iran dan Korea Utara.

Katanya, Trump kecewa dengan tindakan Bolton dalam menangani krisis Venezuela dan Afghanistan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu