Punca air hitam di Sungai Lukut Kechil bukan disebabkan pencemaran - exco [ 3m ago ]

BERITA DUNIA


Sekurang-kurangnya enam pegawai polis ditembak di Philadelphia

Tarikh kemaskini: 15/08/2019
WASHINGTON, 15 Ogos (Bernama) -- Sekurang-kurangnya enam pegawai polis cedera dalam satu insiden tembakan pada Ahad petang di bandar Philadelphia, Amerika Syarikat, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Saluran TV WPVI melaporkan bahawa John McNesby, Presiden Fraternal Order of Police bandar itu berkata kesemua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di sebuah hospital tempatan.

Insiden itu berlaku di kawasan Nicetown-Tioga sepanjang blok 3700 di Jalan Utara ke-15.

Gambar udara di lokasi kejadian menunjukkan berpuluh-puluh anggota polis berada di kawasan kejiranan itu dengan membawa peralatan berat.

Seorang saksi wanita memberitahu WPVI bahawa sekurang-kurangnya seratus das tembakan telah kedengaran.

Memandangkan insiden itu masih berlaku, angka mangsa yang cedera mungkin terus meningkat.

Menjelang awal bulan Ogos, Philadelphia telah mencatat enam insiden tembakan rambang secara besar-besaran yang menyebabkan dua kematian dan 30 kecederaan.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu