BERNAMA.com - Serangan Selektif Pembangkang Ke Atas Pelaburan China Berniat Jahat
malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

PERSPEKTIF ISU MASA KINI


Serangan Selektif Pembangkang Ke Atas Pelaburan China Berniat Jahat

Tarikh kemaskini: 07/03/2018
 
Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Hubungan jangka panjang lebih empat dekad antara Malaysia dan China dalam pelbagai bidang telah membawa manfaat konkrit bagi negara dan rakyatnya, bertentangan dengan dakwaan bahawa ia membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Di bawah program transformasi ekonomi dan dasar yang menyokong pelaburan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan pada masa yang sama dirangsang oleh inisiatif China sebagai penggerak dasar 'One Belt One Road' (OBOR), yang Malaysia juga menyokong secara aktif, menyaksikan pelaburan China di negara ini merekodkan peningkatan yang ketara, terutamanya sejak dua tahun lepas.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan China mencecah US$96.3 bilion tahun lepas, sebahagian besarnya dalam sektor infrastruktur dan merupakan satu daripada 10 negara teratas dalam pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia.

Tetapi ini tidak menghalang pembangkang untuk membuat tohmahan daripada kehadiran China yang semakin meningkat di negara ini.

Dengan mendakwa Malaysia kini dijajah oleh China melalui kemasukan pelaburan mereka, dengan menuduh Putrajaya menjual kedaulatan negara kepada China, pembangkang telah melampaui batas untuk menimbulkan syak wasangka rakyat Malaysia mengenai kehadiran China.

Tohmahan itu mendorong pemimpin Barisan Nasional untuk membalas semula serangan tersebut dan Najib dalam beberapa acara menegaskan Malaysia melihat kepentingan pelaburan China dan pentadbiran beliau tidak akan membenarkan apa-apa percubaan yang tidak bertanggungjawab untuk menjejaskan hubungan dua hala dengan China.

Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus mengalu-alukan pelaburan China.

Najib telah menyatakan pendirian jelas kerajaan berhubung perkara itu dan akan mempertahankannya.

Selain itu, semasa sambutan perayaan Tahun Baharu Cina oleh Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), yang turut dihadiri Najib dan Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian bulan lepas, Presiden pertubuhan itu, Tan Sri Pheng Yin Huah telah menyatakan pendirian Huazong, menyokong dasar kerajaan untuk meningkatkan pelaburan China di negara ini.

Menggesa orang ramai agar tidak mempercayai tuduhan tidak berasas itu, Pheng berkata dakwaan dan serangan pelbagai pihak terhadap pelaburan modal China adalah tidak berasas dan berpunca daripada hasad dengki politik kepartian.

Persahabatan Malaysia dan China terjalin berdasarkan persefahaman, saling menghormati dan muhibah. Malaysia negara pertama di rantau ini yang menawarkan persahabatan dengan China pada 1974.

Dan hari ini hubungan diplomatik ini telah membuahkan hasil yang membanggakan, mewujudkan kerjasama menang-menang yang memberi manfaat bagi kedua-dua negara.

Ini termasuklah penubuhan projek taman industri berkembar Taman Industri Qinzhou China-Malaysia dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia di Sepang tahun lepas dalam memacu perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama di peringkat antarabangsa.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang China adalah rakan kongsi, juga dijangka sebagai pencetus perubahan, menjadi pemangkin bagi keseimbangan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur.



Ahli ekonomi Prof Dr Hoo Ke Ping berkata langkah pembangkang menyasarkan pelaburan besar China di Malaysia adalah cubaan terakhir untuk memenangi undi Melayu dalam usaha terdesak untuk mengambil alih Putrajaya.

"Dengan memainkan sentimen China, (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) mencuba untuk melaga-lagakan kaum Melayu dengan masyarakat Cina tempatan dan pada masa yang sama menyemai kebencian rakyat Malaysia terhadap kerajaan semasa dengan mewujudkan kebimbangan, pelabur China akan mengancam punca pendapatan mereka," katanya.

Beliau berkata dakwaan Malaysia menjual kedaulatannya kepada China adalah tidak berasas.

Hoo berkata pelaburan Jepun di Malaysia adalah 10 kali ganda lebih tinggi daripada China, tetapi tiada siapa yang mempertikaikan isu itu.

"Mengapa tidak ada sesiapa yang mengatakan Najib telah menjual kedaulatan negara kita kepada Jepun", katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur (KLCAH) Datuk KK Chai berkata pelaburan China di Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman.

Chai berkata selain membawa masuk dana, pelabur juga membawa masuk kepakaran teknologi yang akan memacu pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada rakyat tempatan.

"Mana-mana negara memerlukan FDI untuk merangsang ekonomi dan membina negara, dan bagi saya, pelaburan China di Malaysia adalah secara sihat dan akan membawa kesan positif kepada negara," katanya.

Chai juga berkata kestabilan sosiopolitik negara dan perkongsian nilai budaya antara rakyat China dan masyarakat Cina tempatan juga antara faktor yang menjadikan Malaysia pilihan destinasi bagi pelabur dari China.

-- BERNAMA

 
 
 

       Previous Top Story