Peruntukan RM86,000 disalur kepada balai bomba dan penyelamat, persatuan bomba sukarela [ 9m ago ]

Berita AM


Prayuth puji Malaysia kerana memudah cara proses perdamaian di selatan Thailand

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
BANGKOK, 8 Nov -- Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha memuji Malaysia kerana memudah cara proses perdamaian di wilayah selatan negara ini.

“Malaysia selalu memberikan kerjasama yang baik selaku pemudah cara dalam rundingan damai, katanya kepada media dalam satu sidang media di Rumah Kerajaan di sini, hari ini.

Bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Abdul Rahim Noor dilantik pada Ogos tahun lepas sebagai fasilitator untuk rundingan damai Selatan Thailand antara Kerajaan Thai dengan Majlis Syura Patani (Mara Patani).

Thailand melantik bekas Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Jen Wanlop Rugsanaoh sebagai ketua perunding proses perdamaian Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Okt. Jen Wanlop menggantikan Jen Udomchai Thammasarorath, bekas komander Tentera Darat Wilayah Keempat.

Sementara itu, Prayuth berkata beliau juga berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membawa kumpulan bertanggungjawab terdiri daripada pelbagai kumpulan pemberontak di wilayah selatan ke meja rundingan.

“Masalahnya sama ada mereka (kumpulan) akan menyertai proses perdamaian atau tidak … ada antara mereka enggan datang dan sebaliknya bertindak ganas. Kami tidak boleh memaksa mereka untuk turut serta,” katanya.

Mengenai cadangan supaya dikenakan perintah berkurung di wilayah selatan Thailand selepas serangan satu kumpulan bersenjata pada Selasa yang mengorbankan 15 orang dan mencederakan empat lagi di Wilayah Yala, Prayuth berkata kerajaan tidak akan mengenakan perintah berkurung sekarang tetapi jika perlu, ia akan dilaksanakan dalam jangka masa pendek bagi tujuan siasatan.

“Perintah berkurung akan dikenakan bagi mengehadkan pergerakan pelaku semasa mereka diburu,” katanya.

Prayuth berkata sukarelawan pertahanan, lazimnya orang awam yang dilatih bagi menggunakan senjata ditugaskan melindungi kampung-kampung di wilayah selatan Thailand, masih diperlukan tetapi perlu langkah-langkah penambahbaikan.

Keganasan di empat wilayah selatan Thailand - Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla mengorbankan lebih daripada 7,000 nyawa setakat ini.

Beberapa tahun lepas, Mara Patani mengadakan rundingan damai dengan Kerajaan Thai bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlarutan sejak 2004.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu